Topik Utama

Showing posts with label tips. Show all posts
Showing posts with label tips. Show all posts

Sunday, August 23, 2015

Pengalaman Membeli di Taobao (Part 5 - refund dan...)

Assalamualaikum wbt.

Seperti dijanjikan, saya akan nukilkan pengalaman mendapatkan pengembalian wang  dari Taobao. Untuk melindungi hak pengguna, Taobao menyimpan wang pembayaran anda secara maya, jadi ia membolehkan pembeli menerima wang balik secara auto jika keadaan memerlukan. Saya biasanya melakukannya apabila barang yang dibayar tidak shipping biarpun sudah beberapa hari. Pada pengamatan saya, barang akan dihantar paling lewat 1-2 hari selepas dibayar, dan jika lebih mungkin menandakan masalah telah berlaku.

Sebagai contoh, barang yang saya order di bawah tidak menerima maklumbalas peniaga selepas 4 hari biarpun saya telah mengklik "remind the seller shipped". Oleh itu, saya menekan pula butang "refund" untuk membatalkan transaksi.

Dan saya pun dibawa ke halaman "Refund". Klik pada pilihan sebab refund.
Saya memilih "did not ship in time" untuk kes ini. "Shoot the wrong" bermaksud "salah pilih barang" pun boleh juga.
Nyatakan sebab lain permohonan refund anda, jika mahu. Saya nyatakan masalah saya, yang diterjemah ke bahasa Cina. Akan tetapi ini tidak wajib. Teruskan dengan menekan Submit.
Permohonan refund anda akan dimajukan ke peniaga. Jangan risau, jika peniaga tidak respon sekalipun dalam tempoh masa 48 jam, Taobao akan tetap memulangkan wang anda. Untuk mempercepatkan proses ini, anda boleh chatting dengan peniaga dan menerangkan permintaan anda. Ini akan menyegerakan proses refund.
Apabila refund selesai, anda akan lihat tanda ¥ di butiran item di Buy Baby anda seperti ini.
Apabila diklik ¥ tadi, anda akan melihat laman ini. Anda boleh beri rating kepada seller, sepertimana transaksi biasa juga.

Akan tetapi ada juga sebabnya seller akan menolak permohonan anda. Jika barang telah dihantar refund anda tidak dapat diterima. Lihat kembali di halaman utama anda, samada barang itu sudah berada di Inbound bermakna ia sudah dihantar.

Jadi, berapa lamakah sebelum wang itu kembali ke akaun bank anda? Mengikut pengalaman saya, ia akan masuk dalam 5-7 hari bekerja, oleh sebab ia perlu melalui saluran rasmi mereka Alipay, dan kemudian ke bank transaksi antarabangsa. Tapi jangan risau, lambat atau cepat, wang anda selamat dengan sistem pengurusan Taobao yang mesra-pelanggan.

 Berikut adalah janji khidmat pelanggan Taobao:


Oh ya, ada lagi satu pengumuman hebat mengenai Taobao!

Kini, Taobao mempunyai pilihan untuk penghantaran secara terus (tanpa menggunakan cargo seperti yang saya lakukan) ke kediaman anda di Malaysia atau Singapura. Jimat masa dan tidak perlu membayar dua kali. Nantikan review saya!

Monday, April 27, 2015

Tutorial seal beg plastik yang cepat dan mudah tanpa sealer

Assalamualaikum wbt.

Sudah lama saya tidak menjengah ke blog ini, nampaknya kali terakhir saya mengepos ialah sebelum bernikah. Sekarang, selepas mempunyai anak kecil, saya berazam untuk kembali lagi, dengan kandungan yang baru dan harapnya dapat membantu diri sendiri dan rakan pembaca (jika ada). Jadinya, untuk kali ini saya bawakan tips cara seal beg plastik yang cepat dan mudah. Saya, sebagai ibu kepada anak kecil sekarang banyak membawa makanan dalam beg. Terutamanya susu tepung. Untuk menggunakan bekas susu tepung seperti ini adalah memudahkan.

Tetapi bekasnya agak besar dan menggemukkan beg yang sungguh tak serasi dengan badan kecil saya ini. Itu belum lagi bekas yang mudah dihurung susu jika ditutup tidak rapat!

Bahan yang anda perlukan ialah:
Beg plastik (saya sarankan paket aiskrim malaysia)
Sekeping aluminium foil
Seterika
Gunting

Caranya:
1) Masukkan makanan yang anda ingin seal ke dalam beg plastik dan padat-padatkan.

2) Trim beg plastik sebesar mana yang anda mahu (tidak perlu jika gunakan bekas aiskrim malaysia)


3) Ambil aluminium foil dan lipat dua. Ini akan berfungsi seperti mata yang ada pada sealer komersil.




4) Panaskan seterika ke sederhana (atau no. 3, bagi seterika saya)

5) Seterika hujung beg plastik anda, dengan mengalas bahagian atas dan bawahnya dengan aluminum foil. Jika seal berjaya, aluminum foil akan kelihatan licin dan melekat kepada plastik.



6) Angkat seterika dan tunggu. Aluminum foil itu akan bergulung dan tanggal sendiri daripada plastik. Masa itu, ia akan cukup sejuk untuk dipegang.


7) Gunting sedikit hujungnya dalam bentuk v untuk memudahkan dikoyakkan nanti.



7) Siap!


Di negara Eropah, mereka ada menjual susu tepung dalam sachet 3 in 1 seperti sachet nescafe dan milo. Hanya koyak dan tuang ke dalam botol susu.

 Di Malaysia, paling hampir pun ada saya lihat sachet isi-sendiri yang dijual di Manjaku Bangi, namun harganya 16.00 satu set. Apa kata kita buat sendiri, dengan beg plastik murah dari Giant, sekeping aluminium foil dan sebuah seterika. Selamat mencuba!

sumber dari video youtube ini



Saturday, October 8, 2011

SF Beauty: I wish nothing but the best...


Produk yang saya gunakan adalah produk baru. Dan seperti mana-mana konsumer yang skeptik, saya mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum menggunakannya sendiri. Melihatkan testimonial yang baik daripada rakan rapat dan juga daripada blogger-blogger, saya tertarik untuk membeli.

Tetapi saya tidak terburu-buru--saya membeli pek trial dahulu. Dan menjalankan ujian pada bahagian kulit lain sebelum digunakan. Dan saya juga telah diberitahu oleh dealer bahawa sedikit pengelupasan adalah normal. Seperti diceritakan, sedikit kegatalan (tanda awal pengelupasan) berlaku semasa ujian itu; tetapi kepada krim malam dan bukan krim siang. Oleh itu saya mengambil langkah selamat untuk tidak menggunakan krim malam dan hanya menggunakan krim siang serta pencuci muka.

Setelah dua hari penggunaan, saya mula terlihat tanda hitam yang jelas besar pada pipi--di tempat saya meletakkan krim siang sebelum disapu ke seluruh muka. Tanda hitam itu seolah-olah kulit yang melecur (ala-chemical burn), dan apabila ditanggalkan, kulit bawah adalah merah dan amat menyakitkan. Saya meminta nasihat ayah saya, yang meminta saya menghentikan penggunaan sebarang kosmetik dahulu.

Jadi saya kembali menggunakan masker timun, (timun memang bahan anti-irritasi yang natural) digunakan pada waktu malam dapat mengurangkan rasa sakit, namun kembali di siang hari ia mula pedih semula. Sampai satu tahap saya sukar untuk berwudhu kerana rasa pedih yang tidak terhingga! Saya juga menggunakan aloe vera, antara bahan anti-irritasi yang berspeaktrum luas--boleh digunakan daripada masalah fungus hinggalah ke kulit terbakar. 

Namun pada tahap ini saya belum lagi mahu mengaitkan keadaan tersebut kepada alat kosmetik yang saya pakai; satu kerana saya takut dimarahi ibu bapa; dua, kerana saya pernah ke lab mikrob jadi infeksi bakteria dan fungi juga boleh berlaku.

Sehingga Jumaat itu sahaja saya sanggup bertahan. Dengan sembahyang yang entah sah entah tidak (wudhu ala-ala, nak tayamum pula tidak berani kerana takut lebih irritasi), saya terpaksa mencari klinik kulit yang dapat membantu. Ada dua di bangi--tapi bila saya tiba, dua-dua doktornya belum sampai.

Pada hari Sabtu, sekali lagi saya meminta bantuan ayah untuk menunjukkan saya ke pakar kulit. Setelah agak lama mencari dia membawa saya ke klinik biasa, kepada GP yang memang sudah merawat kami sejak kecil. Saya duduk dan menunjukkannya tanda di muka itu.

"Doktor, saya nak tahu, adakah ini bacterial, fungi, atau chemical reaction?" saya minta penjelasan.

Ayah saya sudah mula ketawa. "Pandai buat diagnosis sendiri nampaknya!"

Doktor menggeleng. "Bukan fungi," katanya ringkas. Dia melihat secara kasar, dan kemudian mengeluarkan lampu UV, melihat agak lama dan berkata,

"Ini ekzema reaksi kepada produk. Kamu pakai kosmetik preparation apa?"

Masa itu barulah saya terpaksa memberikan nama produk. Dia hanya menangguk.

"Lepas itu pakai apa-apa produk lain?"

"Tak ada doktor. Aloe Vera sahaja."

"Bagus." dia mengangguk.

Kemudian dia menuliskan preskripsi. Menurutnya ubat yang ada dalam klinik terlalu kuat untuk kulit yang sudah iritasi sebegini. Jadi dia minta saya mencari di farmasi. Kami ke Bangi membeli Hydrocortisone 1%. Nasib baik murah!

Saya pantas membuka krim ubat tersebut dan terus menyapunya. Alhamdulillah, lega rasanya! Walaupun berminyak sedikit tetapi dah kurang merah. Yang paling penting tidak ada rasa sukar untuk berwudhu lagi. Harapnya selepas ini merah itu hilang terus dan saya dapat kembali kepada produk lama.

Ataupun buang semua produk kimia dan pakai timun dan aloe vera sahaja!

Kenapa ia menjadi tidak bersesuaian? Entahlah. Saya telah membuat skin test pada pelipat lengan, seperti yang lazimnya disarankan oleh penasihat kecantikan atau dicatatkan di belakang label produk kulit lain.

Marah? Tak adalah. Awal-awal itu pun, saya tidak pasti apa penyebab tanda hitam di muka itu. Mungkin jangkitan mikrob atau fungi--dan saya berjanji tidak akan memberitahu jenama kosmetiknya sehinggalah dibuktikan oleh doktor. 

Dan saya faham, bahawa produk yang saya beli ini ialah trial set--set percubaan--dan apa gunanya trial set kalau bukan untuk diuji? 

Nasihat saya untuk pengguna-pengguna kali pertama bahan kosmetik ialah:

1) Beli trial pack dan bukan satu set penuh dahulu--ini untuk mengelakkan kerugian. Lagipun trial pack dibuat supaya pengguna dapat menguji kesesuaikan kepada kulit dahulu sebelum membeli set penuh.Saya tahu ada dealer kosmetik yang menjual set penuh kepada pengguna baru dengan mengumpan diskaun--ini salah dan mungkin merugikan pengguna.

2) Melakukan ujian kulit di pelipat lengan. Sapu seperti mana produk itu disarankan dan biar selama 24 jam (silap saya kerana membiarkannya semalaman sahaja--kerana kulit saya hanya mula "meragam" selepas 12 jam)

3) Apabila terdapat iritasi--tidak kira daripada mana sumbernya--hentikan semua jenis produk yang ada. Sama ada lama atau baru. Basuh dengan air bersih selalu dan jangan gosok atau garu tempat itu (OK, dalam kes saya tidak boleh kena air, jadi saya gunakan Aloe Vera dan timun, bahan anti-irritasi natural).

4) Sentiasa merujuk kepada doktor jika sesuatu yang tidak kena berlaku. lebih baik lagi untuk ke doktor sebelum menggunakan kosmetik, terutamanya jika anda pernah ada sejarah masalah kulit sebelum ini. Suatu perkara yang saya lupa--kalau boleh bawakan produk itu kepada doktor jika anda mengambil keputusan membuat rawatan. Supaya doktor dapat memahami sedikit sebanyak punca iritasi tersebut.

5) Beritahu dealer anda apa masalah anda. Jangan takut dia kecil hati. heuheuheu. (tapi kalau kena marah ke apa , jangan marah saya balik!)


P.s Saya tahu saya akan dimarahi atau mungkin kehilangan rakan kerana membuat post seperti ini, tetapi, saya ingin menjadi adil. Jika hanya testimonial berjaya sahaja yang disiarkan oleh para blogger, bakal konsumer akan mempunyai tanggapan salah terhadap keberkesanan sesuatu produk.

Belum ada lagi produk yang boleh menjanjikan hasil yang "one size fits all" di dalam dunia ini, apatah lagi produk yang merupakan bahan buatan kimia. Setiap orang mempunyai reaksi yang berbeza kepada kimia dalam sesuatu formulasi. Malah jika produk tidak mempunyai kesan sampingan pun, ia belum tentu menunjukkan kesan kecantikan yang dijanjikan dalam testimonial model pengguna.