Topik Utama

Showing posts with label muka. Show all posts
Showing posts with label muka. Show all posts

Tuesday, November 22, 2011

I wish nothing but the best...(part 2)

Assalamualaikum wbt.

Ah, ingat post saya pasal muka mengelupas dulu
Ini adalah muka terbaru saya ^_^



Alhamdulillah, elok kan? Eh, tak nampak apa-apa kan? Ha, ini selepas lebih kurang sebulan daripada tarikh kejadian itu. Selepas  minggu pertama menggunakan Hydrocortisone kepada kesan iritasi itu, rasa pedihnya hilang. Kemudian kulit iritasi itu mula tanggal sebagai kulit mati. Akan tetapi kesan parut timbul serta warna merhanya masih ada.

Jadi saya berkira-kira untuk mencari produk lain bagi menghilangkan parut. Pada mulanya saya sapukan Olay cream dengan harapan ia akan memutihkan kembali bahagian itu, tetapi nampak seperti tiada hasil. Kemudiannya saya teringatkan Bio-Oil yang saya simpan di bilik. Ia digunakan untuk parut lama tetapi juga tiada hasil.

"Kalau parut baru macam ni pula bagaimana?" saya terfikir. Lalu saya sentalkan kesan itu dengan Bio-Oil setiap pagi. Ya, saya katakan sental sebab saya betul-betul sental. Almaklumlah Bio-Oil berminyak, jadi kalau disapu begitu sahaja, krim dan bedak tak boleh letak pula! Sambil-sambil sental tu saya doakan juga supaya ia hilang betul. Biarlah parut jerawat ada, tetapi yang ini mesti boleh hilang 100%.

 Jadi...kini sudah sebulan lebih penggunaan. Mari saya buat perbandingan gambar lama dan baru di sini:










Ya! Kesan gerutu dan timbul dari parut itu sudah rata. Dan paling penting nampak jelas tanda merah tu tidak lagi jelas. Tapi adalah sikit-sikit kalau tengok dengan lebih dekat. Tak kisahlah, kalau diletak BB Cream memang hilang terus! Alhamdulillah seronoknya!

Jadi selepas ini saya akan meneruskan regim penjagaan muka menggunakan Bio-Oil saya.  Setakat ini tiada kesan sampingan atas penggunaan Bio-Oil--lebih baik lagi ia boleh digunakan bersama produk lain yang lebih "keras" seperti Oxy dan Olay.(keras bermakna ia juga pernah memberi iritasi dulu, tapi tak sedahsyat produk bulan lepas)

Mungkin selepas ini saya akan sental Bio-Oil ke seluruh muka pula, mana tahu jerawat pun boleh hilang. Tak sangka bukan, botol ubat yang sedia ada di rumah ini rupanya jawapan kepada masalah saya. Andainya saya tahu lebih awal, mungkin produk lama itupun saya tidak beli. Sekarang saya akan kekal dengan Oxy untuk kulit berminyak dan Bio-oil untuk menghilangkan kesan lama.

Apa-apapun, ingin  saya tekankan di sini bahawa saya tidak marah kepada pengedar produk  iritasi kulit yang dulu itu. Bukan pada tanggungjawabnya untuk memastikan formulasi itu selamat digunakan untuk semua (walaupun sebenarnya beliau perlu juga memberitahu bakal pelanggan lain tentang kemungkinan reaksi sebegini). Tak siapa boleh jangka apa yang terjadi bukan.

Harap-harapnya entri ini akan jadi peringatan kepada saya (dan pembaca, kalau ada lah) supaya lebih berhati-hati dalam memilih produk penjagaan. Dan jangan terlalu taksub kepada kecantikan pantas dan ekstrim!

Saturday, October 8, 2011

SF Beauty: I wish nothing but the best...


Produk yang saya gunakan adalah produk baru. Dan seperti mana-mana konsumer yang skeptik, saya mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum menggunakannya sendiri. Melihatkan testimonial yang baik daripada rakan rapat dan juga daripada blogger-blogger, saya tertarik untuk membeli.

Tetapi saya tidak terburu-buru--saya membeli pek trial dahulu. Dan menjalankan ujian pada bahagian kulit lain sebelum digunakan. Dan saya juga telah diberitahu oleh dealer bahawa sedikit pengelupasan adalah normal. Seperti diceritakan, sedikit kegatalan (tanda awal pengelupasan) berlaku semasa ujian itu; tetapi kepada krim malam dan bukan krim siang. Oleh itu saya mengambil langkah selamat untuk tidak menggunakan krim malam dan hanya menggunakan krim siang serta pencuci muka.

Setelah dua hari penggunaan, saya mula terlihat tanda hitam yang jelas besar pada pipi--di tempat saya meletakkan krim siang sebelum disapu ke seluruh muka. Tanda hitam itu seolah-olah kulit yang melecur (ala-chemical burn), dan apabila ditanggalkan, kulit bawah adalah merah dan amat menyakitkan. Saya meminta nasihat ayah saya, yang meminta saya menghentikan penggunaan sebarang kosmetik dahulu.

Jadi saya kembali menggunakan masker timun, (timun memang bahan anti-irritasi yang natural) digunakan pada waktu malam dapat mengurangkan rasa sakit, namun kembali di siang hari ia mula pedih semula. Sampai satu tahap saya sukar untuk berwudhu kerana rasa pedih yang tidak terhingga! Saya juga menggunakan aloe vera, antara bahan anti-irritasi yang berspeaktrum luas--boleh digunakan daripada masalah fungus hinggalah ke kulit terbakar. 

Namun pada tahap ini saya belum lagi mahu mengaitkan keadaan tersebut kepada alat kosmetik yang saya pakai; satu kerana saya takut dimarahi ibu bapa; dua, kerana saya pernah ke lab mikrob jadi infeksi bakteria dan fungi juga boleh berlaku.

Sehingga Jumaat itu sahaja saya sanggup bertahan. Dengan sembahyang yang entah sah entah tidak (wudhu ala-ala, nak tayamum pula tidak berani kerana takut lebih irritasi), saya terpaksa mencari klinik kulit yang dapat membantu. Ada dua di bangi--tapi bila saya tiba, dua-dua doktornya belum sampai.

Pada hari Sabtu, sekali lagi saya meminta bantuan ayah untuk menunjukkan saya ke pakar kulit. Setelah agak lama mencari dia membawa saya ke klinik biasa, kepada GP yang memang sudah merawat kami sejak kecil. Saya duduk dan menunjukkannya tanda di muka itu.

"Doktor, saya nak tahu, adakah ini bacterial, fungi, atau chemical reaction?" saya minta penjelasan.

Ayah saya sudah mula ketawa. "Pandai buat diagnosis sendiri nampaknya!"

Doktor menggeleng. "Bukan fungi," katanya ringkas. Dia melihat secara kasar, dan kemudian mengeluarkan lampu UV, melihat agak lama dan berkata,

"Ini ekzema reaksi kepada produk. Kamu pakai kosmetik preparation apa?"

Masa itu barulah saya terpaksa memberikan nama produk. Dia hanya menangguk.

"Lepas itu pakai apa-apa produk lain?"

"Tak ada doktor. Aloe Vera sahaja."

"Bagus." dia mengangguk.

Kemudian dia menuliskan preskripsi. Menurutnya ubat yang ada dalam klinik terlalu kuat untuk kulit yang sudah iritasi sebegini. Jadi dia minta saya mencari di farmasi. Kami ke Bangi membeli Hydrocortisone 1%. Nasib baik murah!

Saya pantas membuka krim ubat tersebut dan terus menyapunya. Alhamdulillah, lega rasanya! Walaupun berminyak sedikit tetapi dah kurang merah. Yang paling penting tidak ada rasa sukar untuk berwudhu lagi. Harapnya selepas ini merah itu hilang terus dan saya dapat kembali kepada produk lama.

Ataupun buang semua produk kimia dan pakai timun dan aloe vera sahaja!

Kenapa ia menjadi tidak bersesuaian? Entahlah. Saya telah membuat skin test pada pelipat lengan, seperti yang lazimnya disarankan oleh penasihat kecantikan atau dicatatkan di belakang label produk kulit lain.

Marah? Tak adalah. Awal-awal itu pun, saya tidak pasti apa penyebab tanda hitam di muka itu. Mungkin jangkitan mikrob atau fungi--dan saya berjanji tidak akan memberitahu jenama kosmetiknya sehinggalah dibuktikan oleh doktor. 

Dan saya faham, bahawa produk yang saya beli ini ialah trial set--set percubaan--dan apa gunanya trial set kalau bukan untuk diuji? 

Nasihat saya untuk pengguna-pengguna kali pertama bahan kosmetik ialah:

1) Beli trial pack dan bukan satu set penuh dahulu--ini untuk mengelakkan kerugian. Lagipun trial pack dibuat supaya pengguna dapat menguji kesesuaikan kepada kulit dahulu sebelum membeli set penuh.Saya tahu ada dealer kosmetik yang menjual set penuh kepada pengguna baru dengan mengumpan diskaun--ini salah dan mungkin merugikan pengguna.

2) Melakukan ujian kulit di pelipat lengan. Sapu seperti mana produk itu disarankan dan biar selama 24 jam (silap saya kerana membiarkannya semalaman sahaja--kerana kulit saya hanya mula "meragam" selepas 12 jam)

3) Apabila terdapat iritasi--tidak kira daripada mana sumbernya--hentikan semua jenis produk yang ada. Sama ada lama atau baru. Basuh dengan air bersih selalu dan jangan gosok atau garu tempat itu (OK, dalam kes saya tidak boleh kena air, jadi saya gunakan Aloe Vera dan timun, bahan anti-irritasi natural).

4) Sentiasa merujuk kepada doktor jika sesuatu yang tidak kena berlaku. lebih baik lagi untuk ke doktor sebelum menggunakan kosmetik, terutamanya jika anda pernah ada sejarah masalah kulit sebelum ini. Suatu perkara yang saya lupa--kalau boleh bawakan produk itu kepada doktor jika anda mengambil keputusan membuat rawatan. Supaya doktor dapat memahami sedikit sebanyak punca iritasi tersebut.

5) Beritahu dealer anda apa masalah anda. Jangan takut dia kecil hati. heuheuheu. (tapi kalau kena marah ke apa , jangan marah saya balik!)


P.s Saya tahu saya akan dimarahi atau mungkin kehilangan rakan kerana membuat post seperti ini, tetapi, saya ingin menjadi adil. Jika hanya testimonial berjaya sahaja yang disiarkan oleh para blogger, bakal konsumer akan mempunyai tanggapan salah terhadap keberkesanan sesuatu produk.

Belum ada lagi produk yang boleh menjanjikan hasil yang "one size fits all" di dalam dunia ini, apatah lagi produk yang merupakan bahan buatan kimia. Setiap orang mempunyai reaksi yang berbeza kepada kimia dalam sesuatu formulasi. Malah jika produk tidak mempunyai kesan sampingan pun, ia belum tentu menunjukkan kesan kecantikan yang dijanjikan dalam testimonial model pengguna.