Topik Utama

Showing posts with label beli-belah online. Show all posts
Showing posts with label beli-belah online. Show all posts

Tuesday, August 25, 2015

Taobao kini membolehkan penghantaran terus ke Malaysia!

Baru-baru ini Taobao melancarkan khidmat penghantaran terus ke Malaysia dan Singapura menggunakan Logistik Rasmi mereka. Dengan cara ini, pelanggan hanya perlu bayar sekali sahaja tanpa perlu menunggu barang di gudang forwarder dan membayar forwarder pada kali kedua. Memandangkan kadar tukaran wang kita dan wang Yuan selalu turun naik, cara seperti ini mengelakkan kerugian apabila berlaku perubahan matawang.

Caranya mudah sahaja, jika anda melihat laman utama produk di Taobao, anda akan melihat perkataan Taobao Online Shop di bahagian penghantaran.

Setelah membuat pembayaran seperti biasa, seller akan menghantar barang ke gudang taobao di bawah nama anda. Alamat anda akan kelihatan seperti begini.


 Anda boleh jejaki barang anda seperti biasa. perjalanannya sama seperti barang ditempah menggunakan kurier, cuma kali ini alamatnya berbeza.



Cuma pada pengalaman saya, prosesnya agak lama di gudang iaitu mengambil masa 3 hari seperti dalam penjejak di atas.

Anda mungkin terfikir - ini untuk satu barang, bagaimana pula untuk pelbagai barang daripada banyak kedai?

Ya, masih sama.  hanya 'add to cart' seperti biasa, bila sudah selesai bershopping, tekan settlement dan di bahagian alamat, klik Taobao Direct Shop di bahagian paling atas.



Sekilo barang ditetapkan kos sebanyak 33.5 yuan, sama seperti kargo kurier yang saya gunakan sebelum ini. Jadi cuba lihat-lihat promosi yang ada di laman web rasmi, mungkin ada yang berbaloi pada wang anda.

Namun begitu, kelemahan penghantaran terus ini ialah tidak semua barang dapat menyokong penghantaran terus. Jika ada barang yang anda klik itu tidak dapat dihantar, ia tidak akan termasuk dalam pembayaran keseluruhan.

Dan kelemahannya yang paling utama, jika anda membeli barang daripada pelbagai seller, kos 33.5 yuan akan didarabkan kepada setiap seller, dan tidak boleh digabungkan. Contohnya anda beli barang dari 3 seller dengan jumlah berat 1 kg. Dengan penghantaran terus, kos penghantaran menjadi (33.5 x 3 = 100.5 yuan) berbanding menggunakan forwarder, kosnya tetap 33.5 yuan.

Maka, pilihlah penghantaran yang menepati cara perbelanjaan anda. Jika anda membeli secara pukal daripada satu seller, taobao direct lebih sesuai untuk anda.

Oh ya, berikut adalah FAQ biasa mengenai taobao direct:
1.  Saya ingin refund tetapi bayaran penghantaran telah dibuat, bagaimana?

Ya, jika ada barang belum dihantar lagi, anda boleh mendapatkan refund penuh biarpun international freight dibayar; jika seller sudah menghantar anda perlu tunggu barang itu sampai di gudang dahulu baru memilih barang yang mahu dihantar dan yang mahu di-refund.

2.  Bolehkah saya bahagikan barang kepada 'batch' untuk penghantaran asing-asing?

Tidak, Taobao direct-service akan gabungkan semua barang dengan sekali bayar, jika anda ingin beli secara batch, adalah disarankan menggunakan Cargo Forwarder seperti biasa.

3. Berapa lamakah perlu ditunggu sebelum barang dihantar? Adakah ia akan dihantar satu-satu atau semua sekali ke Singapore / Malaysia?

APabila barang pertama sampai di gudang, Taobao ada masa sepuluh hari untuk menunggu barang lain sebelum menghantar semuanya sekaligus. Jika selepas 10 hari tidak semua barang sampai ke gudang, automatik barang yang akan disimpan dahulu, Anda mungkin perlu menghubungi penyedia perkhidmatan dan mereka anda menguruskan penghantaran secara asing.

Thursday, June 25, 2015

Pengalaman Membeli di Taobao (Part 4) - Memilih seller yang betul

Assalamualaikum wbt.,

Hari semua! Setelah entri mengenai taobao yang lepas mendapat agak banyak hits dan menarik minat orang untuk membeli dari sana, saya merasakan satu lagi entri perlu ditulis, iaitu mengenai cara memilih seller yang baik. Maklumlah, sebagai 'orang luar' yang tidak tahu apa-apa mengenai negara sana, adalah penting untuk kita mencari seller yang boleh dipercayai dan dapat membawa barang kita dengan selamat dan berpatutan harganya. Berikut adalah tips saya untuk mencari seller yang terbaik:
  1. Gunakan aksara Cina untuk mencari barang anda.

  2. Kenapa? Kerana kebanyakan seller tidak tahu bahasa inggeris. Dengan menggunakan bahasa cina anda dapat lebih banyak pilihan, dan juga barang lebih murah! Anda boleh menggunakan google translate, copy paste, ataupun memuat naik gambar barang tersebut dalam ruang carian.

    Lihat bezanya?

  3. Pilih yang harga di tengah-tengah (tidak terlalu murah tidak terlalu mahal)

  4. Setelah mendapat banyak pilihan barang, anda mungkin pening kepala melihat barang yang sama dari pelbagai seller tetapi beza harga. Kadangkala, rupa barang juga sama. Ambillah harga yang purata.
    500 dengan 300 (purata). Wah bezanya! Tapi ada juga sebab lain kenapa murah...
  5. Lihat pada shipping barang tersebut.

  6. Kadangkala, barang berharga jauh lebih murah di dalam page seller ini berbanding seller yang itu. Barang yang sama pula tu! Tapi jangan terburu-buru membeli, lihat pada shipping costs. Ada yang barang harga lebih tinggi tapi free shipping. Ada juga barang yang sangat murah tapi shipping tiga kali ganda barang! Itulah cara seller mencari untung. Hati-hati.
    Contoh sahaja. Ada yang lagi pelik, barang 1 yuan shipping 30.00 yuan!

  7. Lihat rekod transaksi.


  8. "People Payment" memaparkan berapa banyak orang yang membeli. Kemungkinan jika bilangan pembeli tinggi, barang atau seller adalah popular dan dipercayai orang tempatan. Mungkin juga yang sikit "People Payment" itu adalah syarikat yang sah cuma masih baru. Akan tetapi, carilah jalan selamat dengan memilih seller yang dikenali ramai.

  9. Lihat comment evaluation (atau cumulative assesment).

  10. Satu lagi perkara penting, ialah melihat komen pembeli yang lepas. mungkin barangnya popular kerana murah, tetapi kualitinya agak kurang atau sellernya agak lambat. Kadangkala seller akan membalas komen pengguna di ruang evaluation supaya pembeli faham. Daripada evaluation, anda boleh nilaikan samada ia seorang seller yang baik.
    4.8 daripada 5, bermakna reviewnya agak positif.

  11. Cari label-label berikut:
  12. Semasa di ruang carian, anda mungkin dapat melihat label medal emas pada hujung kiri gambar. ini adalah Gold Medal, yang jarang didapati di kebanyakan seller. Jika seller anda memiliki label ini, insyaallah ia syarikat yang sah.
    Satu lagi adalah logo "Reputation" berlian/hati/crown pada halaman produk jualan tersebut. Ini adalah ranking seller tersebut dalam urusniaga online. Crown adalah paling tinggi diikuti berlian dan paling bawah ialah hati.

    Label hijau  pada "Qualification" pula adalah insurans pemulangan barang, di mana jika anda tidak puas hati dengan barang seller boleh menggantikannya untuk anda dan seller akan menanggung kos penghantaran. Namun, kos itu biasanya tidak termasuk kos forwarder (maknanya hanya kos dari gudang ke seller).

  13. Cuba chat dengan seller yang online.

  14. Nampak tak dalam gambar di atas itu ada ikon biru ? Ya itu ialah ikon chat. Klik padanya jika ia biru, tandanya seller adalah online dan anda boleh menanyakan dia soal produk, biarpun belum membeli. Akan ada popup yang rupanya seperti Yahoo! Messenger lama, termasuk dengan emoji-emoji comel!
     (TIP: seller mereka rajin guna emoji untuk merasa ramah, seperti mana seller kita suka guna dear, sis, yunk dan smiley. Lain tempat lain cara, ya tak?)Selepas membeli, anda boleh teruskan chatting dengan seller, seperti ini.
    Alamak, apa berlaku di sini? Ha, seller menghubungi saya dengan masalah penghantaran. Nampaknya saya perlu refund. Nantikan entri tentang proses refund di masa akan datang!




Thursday, June 4, 2015

Pengalaman Membeli dari Taobao (Part 3 - Forwarding dan selesai transaksi)

Assalamualaikum wbt.

Pada entri yang lalu saya tinggalkan anda dengan langkah demi langkah pembelian barang dari Taobao. Sekarang, kita teruskan pula dengan proses penghantaran. Masuk ke laman web Taobao anda dan klik butiran pembelian seperti sebelum ini. 

Apakah maksud "9 days left" di lajur kanan order? Ia bermaksud peniaga berjanji untuk mengambil masa tidak lebih 9 hari untuk menguruskan barang anda. Semasa anda membayar tadi, wang itu akan 'float' dalam sistem Alipay (e-wallet) Taobao sehingga urusan selesai. Jika seller itu mematuhi janjinya, sistem Alipay akan mengkredit duit itu ke syarikatnya. Dalam masa itu anda boleh meminta pulangan wang jika terdapat keraguan. Beginilah caranya Taobao melindungi pengguna.



OK, kita teruskan. Klik pada view logistics untuk melihat perjalanan item anda. Anda boleh dwiklik untuk membukanya di halaman baru. Ia akan menunjukkan satu demi satu poin perjalanan item anda dari seller ke gudang forwarder. Bagi barang saya, perjalanan dari seller di Beijing ke forwarder di Shenzen mengambil masa 3 hari.


Apabila barang itu sampai ke forwarder, anda akan menerima mesej dari forwarder samada dalam bentuk SMS, e-mel atau anda juga boleh periksa notifikasi di laman web Taobao. Saya mendapat SMS berikut:


Dan jika lihat di laman web Home anda pula:



Dengan ini bermakna urusan anda dengan seller sudah selesai, dan urusan anda dengan syarikat forwarder bermula! Ingat, bahawa gudang forwarder hanya akan menyimpan item anda secara percuma hingga 20 hari, selepas itu ia akan caj 1 yuan per item per hari. Untuk orang yang membeli banyak item dari seller berbeza tetapi menggunakan forwarder yang sama, mungkin setiap item sampai pada hari berbeza. Pastikan ia tidak melebihi 20 hari tersebut untuk mengelak membayar lebih. 

Untuk membayar, seperti biasa, klik Inbound pada halaman Home anda.


Lihat, butang oren kini telah bertulis Pay Freight Forwarding. Klik untuk memulakan.


Anda akan melihat Item anda berada dalam "Cargo to be baby"(Sebenarnya ia bermaksud "Item untuk ke Kargo". tetapi biasalah, penterjemah robot!) Klik pada item (atau kalau banyak barang, item-item) dan tekan butang biru "Merge." Secara automatik ruang "Pending Merger Express" yang berlogo lori itu akan berubah dari (0) ke (1). Anda boleh lihat kos penghantaran dalam menu drop down ia. Klik butang "Combined".


Anda akan melihat alamat, masa dan jenis kargo yang anda nyatakan sebelum ini. Sahkan alamat anda betul. Tekan butang oren di bawah sekali untuk ke bahagian pembayaran.


Seperti biasa, butang ini akan membawa anda ke bahagian pembayaran seperti sebelum ini. Klik Overseas Payment dan jangan lupa klik gambar bendera Malaysia!

Service Fee kalau tak silap saya adalah 1.5%. Berbanding ejen lain seperti askmebuy yang mengenakan 8%, ia agak murah.
Jangan risau jika Alipay kelihatan lambat respons. Maklumlah ini merupakan transaksi antara negara jadi ia mengambil masa. Setelah proses selesai, anda akan berada kembali di laman Cargo. Klik Wait Library dan mesej ini akan muncul:


Maknanya item anda sedang dalam perjalanan ke Malaysia!
Jika anda kembali ke Home > Inbound anda akan dapat melihat butang oren "Processing Transport" bertukar kepada "Handling Transhipment".


Di laman web Home anda sendiri, anda juga boleh terus mengklik "See Detail Logistics" (yang ditunjukkan anak panah) untuk menjejaki perjalanan barang dengan lebih teliti.


Dan anda boleh lihat butiran yang sangat terperinci seperti berikut:

Dari seller hinggalah ke delivery kepada anda!
Menurut laman web Taobao, pengeposan barang ke negara luar biasanya mengambil masa 3 hingga 6 hari bekerja. Jadi saya menunggu hingga proses tersebut tamat sebelum menekan Confirm Receipt bagi kedua-dua Seller dan Forwarder. Seller mempunyai tempoh maksimum 10 hari untuk menyelesaikan urusniaga mereka, manakala forwarder mempunyai tempoh maksimum 30 hari untuk menghantar barang ke penerima di luar negara, seperti yang ditunjukkan di bawah:





 Jika ia melebihi tarikh yang dijanjikan oleh seller, anda boleh memanjangkan tempoh tersebut, untuk memastikan anda ada peluang untuk refund jika apa-apa berlaku. Anda boleh mula memohon untuk "extend time of receipt" paling awal tiga hari sebelum tarikh tersebut tamat. Hanya kembali ke trade item list, klik order details, dan klik Extend Time of Receipt. Jika barang sampai dengan baik oleh forwarder, barulah boleh klik Confirm Recipt dan buat review (Evaluation) untuk seller.


Item saya tiba 7 hari seperti yang dijanjikan melalui kurier AirPak. Lihat kotaknya sedikit kemek kesan perjalanan jauh, namun barang didalamnya masih berkeadaan elok. Namun saya puas hati dengan barang yang dihantar, jadi saya Confirm Receipt. Saya diminta memasukkan 6 digit payment password (yang dipinta semasa mendaftar nombor telefon dahulu, ingat tak?) dan checksum (checksum itu lebih kurang macam TAC untuk online banking kita). Selepas memasukkan nombor-nombor tersebut, anda akan mendapat mesej ini:




Tulislah apa-apa yang anda mahu, dan skrol ke bawah untuk memberi rating (maksimum 5 bintang) dan tekan butang biru untuk OK.

Selesai sudah proses membeli. Dan dalam entri seterusnya, saya akan rungkaikan proses Refund yang selamat dan mudah oleh Taobao. Nantikan!

Monday, June 1, 2015

Pengalaman membeli dari Taobao (Part 2 - daftar dan beli)

Assalamualaikum wbt.

Ha, minggu lepas saya telah berikan entri mengenai laman web Taobao. Jika anda berminat untuk membeli dari sana, saya akan terus menulis mengenai cara-cara membeli daripada laman web ini dalam entri-entri yang akan datang. Pertama sekali, saya akan bantu anda dalam proses pendaftaran nombor telefon di Taobao.

Untuk mendaftar, klik laman pendaftaran Taobao di sini. Secara automatik, Taobao akan mengesan anda dari Malaysia dan memaparkan nama negara dan kod kawasan +60, iaitu kod Malaysia. Klik butang English di kanan atas, jika laman web anda tidak auto-translate ke bahasa Inggeris.



Anda akan diminta untuk menaip nombor telefon bimbit anda, supaya pihak Taobao akan menghantar SMS pengesahan pendaftaran anda. Tandakan rait pada Create Alipay Account and klik Next.


Dapatkan nombor tersebut dan isikan ke dalam Verification Code tadi.
Kemudian isikan Information yang seterusnya seperti nama pengguna, kata laluan Taobao, dan 6 digit payment password untuk Alipay (simpan nombor ini baik-baik kerana ia seperti no. PIN untuk e-wallet akaun anda). 

Klik OK, dan anda boleh mula membeli!



Setelah anda selesai memilih seller dan item yang diingini, klik Add to Shopping. Pastikan Delivery ditetapkan kepada 'overseas' untuk mendapatkan kos shipping yang mungkin ada. Anda akan dibawa ke cart.

Tekan "go cart settlement" untuk memulakan proses pembayaran.


Klik item yang ingin dibayar. Tekan Settlement untuk meneruskan proses. Di sinilah bahagian yang paling sukar (untuk sayalah) kerana saya perlu menulis alamat tanpa translation automatik Inggeris! Namun di sini saya akan terangkan kepada anda. Ketika menekan butang Set Address, anda akan diminta mengisi borang seperti berikut:

proses mengisi alamat memang memeningkan apatah lagi nama negeri dan daerah ditulis dalam aksara cina! nasib baik dengan sedikit google translate dan pencarian mudah, saya dapat menerjemahkannya:

Setelah selesai, klik butang oren di bawah itu. Pada hemat saya, tidak perlu meletakkan no telefon rumah kerana ia tidak wajib, dan selalunya error. Setelah selesai, alamat anda akan terpamer dalam borang order. tapi jangan tekan Submit dahulu! Tekan butang "Rookie Official Cargo" untuk memilih Forwarder.

Anda akan dipinta memilih antara 3 forwarder rasmi Taobao. Klik yang mana satu diingini.



Oh ya, apakah amaran berwarna merah di bahagian atas halaman itu? Ia menyatakan bahawa:

Amaran
1. Penghantaran barang terhad sempadan dan embargo adalah dilarang, klik untuk melihat senarai barang embargo dan barang yang terhad sempadan.
2. Apabila anda membeli daripada Taobao, amaun penghantaran, insurans, pengeposan (atau percuma) yang telah dijelaskan kepada peniaga adalah sehingga gudang Kargo Tanah Besar China sahaja, ia tidak termasuk kos penghantaran ke luar negara. (kos tambahan ini yang kita akan bayar kepada forwarder, seperti nilai di atas)
3. Item Taobao diterima dan dibawa masuk ke dalam gudang Kargo dan disimpan secara percuma dalam masa 20 hari. Jika barang berada di sana melebihi tempoh 20 hari tersebut, anda akan dicaj 1 yuan / per order / per hari, jadi sila sentiasa jejaki perjalanan item anda.

Jangan risau, perkara ini saya akan terangkan dalam entri lain insyaallah. Cuma pastikan barang yang dibeli bukan barang terlarang import dan sentiasa periksa perjalanan item anda.

Ok, kembali ke proses pembayaran. Sekarang, ada dua alamat dalam laman web anda. Alamat anda akan menjadi alamat secondary dan alamat gudang akan menjadi alamat primary. Skrol ke bawah dan klik butang oren Submit Order untuk ke halaman pembayaran.


Pastikan "Overseas Elsewhere" dipilih (lihat yg ditanda oren dibawah) lalu klik gambar bendera Malaysia yang muncul.



 Dari sini, anda akan dibawa ke saluran online banking dan bayarlah seperti biasa. Amaun akan automatik ditukar ke ringgit malaysia mengikut kadar semasa.


Tetapi ingat, apa yang anda akan bayarkan ini ialah kos item + kos barang hingga ke gudang (jadi kalau boleh cari yang Express-Free Shipping). Setelah pembayaran selesai anda akan dibawa ke laman utama akaun anda semula.



No 1 pada "Be Shipped" bermakna pembayaran diterima dan 1 item sedang diproses oleh penjual. Apabila 1 itu berada pada Inbound bermakna item anda dalam perjalanan ke gudang. Ada seller mengambil masa sehari ada pula hingga seminggu. Anda boleh menjejak perjalanannya dengan menekan nombor 1 tersebut.


Nampaknya barang saya sedang dipos dan ada sembilan hari lagi sebelum tamat urusniaga. Ini bermakna penjual menjanjikan barang sampai sebelum 9 hari tersebut dan jika ia tidak sampai, saya samada boleh memanjangkan tempoh atau meminta wang kembali. Apa akan berlaku selepas ini? Bagaimanakah caranya meminta wang dikembalikan? Ha, panjang sangat entri ini. Saya akan sambung selepas ini dalam tajuk urusniaga Forwarder pula.

Semoga bertemu lagi!

Friday, May 29, 2015

Pengalaman membeli terus dari China di Taobao.com (Part 1 - Apa itu Taobao?)

Assalamualaikum Wbt.

Sejak menjadi ibu / surirumah sepenuh masa ini, banyak masa saya dihabiskan di rumah. Jadinya, pembelian online merupakan pilihan utama dalam mencari dan membeli barang. Cumanya, kadangkala barang yang dijual terutamanya yang import agak "markup" harganya, mungkin kerana kos pengangkutan atau penggunaan orang tengah yang mencari untung. 

Contohnya, semasa saya sedang mencari sejenis cabin stroller, (macam BabyZen YOYO) saya mendapati harganya makin lama makin tinggi - daripada 499 hingga 699 dan sekarang, 999! Amboi mahalnya. Dan rata-ratanya semua blogshop igshop yang saya survey, meletakkan harga yang sama dan gambar yang sama. Maka saya terfikir, mungkin mereka beli dari tempat yang sama!

ini adalah cabin stroller, antara beberapa jenis stroller yang cukup kecil untuk but kereta Perodua.

Saya google dan mendapati di luar, brand yang sama (atau lebih kurang) dijual dengan harga yang jauh lebih murah. Tetapi, ia di website negara asalnya di China. Jadi, saya memberanikan diri untuk memesan terus dari sana. Ada beberapa laman web pembelian online China, contohnya Alibaba, Qoo10, Aliexpress, dan yang saya sedang cuba sekarang, ialah Taobao. Jadi bagaimana caranya orang Malaysia boleh membeli dari Taobao?

Caranya ialah menggunakan laman Taobao untuk Asia Tenggara iaitu SEA Taobao, dan melayari melalui Google Chome. Kenapa Google Chrome? Kerana, tidak seperti Internet Explorer atau Opera, Google Chrome dapat menterjemah seluruh laman web secara automatik. Hanya tekan butang aksara Cina-rumi di hujung URL anda (bulatan biru dibawah). Mudah bukan? 

Oh ya, cuba lihat harga strollernya 719 yuan. itu bersamaan dengan RM420.

Ya, walaupun bila website diterjemah secara robotik grammarnya terabur, namun boleh jugalah difahami sedikit. Atau cara lebih mudah, minta kawan yang mempelajari bahasa Cina untuk membantu anda.

Dari sini, bukan saja anda dapat membeli barang menggunakan CIMB, Maybank dan RHB, malahan anda mungkin akan mendapat promosi dan rebat istimewa! (Pada masa tulisan ini dibuat, RHBOnline sedang menjalankan promosi untuk pembayaran dalam Taobao). Apa yang anda perlu lakukan ialah mengklik Overseas payment (yang ditandakan Oren dibawah). Akan ada senarai pilihan bayaran, dan klik gambar bendera Malaysia. Anda akan terus dibawa ke website bank pilihan anda.

sumber gambar ini dari tutorial taobao.

Oh, lupa saya mahu sebutkan, bahawa penghantaran barang Taobao ke Malaysia, Singapura, Thailand dan seumpamanya menggukan 'Forwarder'. Forwarder menggantikan sistem ejen yang biasa digunakan rakyat kita sebelum ini semasa membeli barang dari China. Sekarang, Taobao mempunyai Forwarder mereka sendiri di mana, barang dari seller akan dipos ke forwarder, dan forwarder akan menghantar barang ini melalui kapal laut atau kapal terbang ke Malaysia. 

forwarder biasanya pihak yang mempunyai gudang dan di kawasan pelabuhan, akan menyimpan barang anda sebelum dipos ke Malaysia.

Kosnya berbeza bagi setiap forwarder, lebih kurang 15 Yuan iaitu  RM8 per kilo. Agak banyak tetapi jika dikumpulkan, murah sedikit daripada pembelian melalui ejen pada pendapat saya. Kalau mahu lebih mudah, mungkin boleh kumpul order dari rakan dan kongsi kos. Semasa checkout barang, klik forwarder dan pilih saja mana-mana yang anda mahu. 

Senarai forwarder Taobao. Untuk malaysia, ada tiga pilihan.

Jadi, fahamkah anda konsep membeli-belah di Taobao? Setakat itu saja post saya pada kali ini. Untuk menulis dengan lebih teliti, saya membuat blogpost berasingan kerana ia agak banyak gambar. Jemput baca blogpost seterusnya mengenai proses mendaftar dan membeli dan seterusnya mengenai proses forwarding.

Jumpa lagi semua!