Topik Utama

Showing posts with label fikiran. Show all posts
Showing posts with label fikiran. Show all posts

Friday, February 24, 2012

Free Sins!

Di kedai mamak bersama dua orang kenalan lelaki. Tiba-tiba mata beliau tertancap kepada sesuatu di hadapan, lalu berkatalah dia.

“Ah, ternampak. Rezeki.” 

“Apa?” tanyaku.

Berlalu seorang anak gadis dengan seluar ketat dan jarang, yang disebabkan kedudukan cahaya dan pergerakan badan, menampakkan sesuatu yang tak patut dilihat.

Ah, spesis lelaki adalah spesis yang aneh. Tika wanita merasa geli-geleman jikalau terlihat aurat lelaki, lelaki pula kelihatan suka ketika melihat aurat wanita.

Tapi rezeki katanya?

Saya mula menggaru kepala. 

Er...aurat itu bukankah, kalau didedahkan berdosa...jadi kalau dilihat berdosa jugakan? Di manakah hadiah “rezeki” di situ? Saya nampak,hadiah dosa. 

 Trololol. Jangan marah bang. Eh adik. 

Tapi kemudiannya malam Khamis lalu saya menonton forum perdana ehwal islam, kebetulan isu ini disentuh kembali. Jemputannya adalah Ustaz Badli Shah dan Dr Fazdilah Kamsah.

“Kalau terlihat sekali itu, tidah berdosa. Alihkan pandangan.” Kata Ustaz Badlishah kalau tidak silap.
Dia mungkin sekali merujuk kepada hadis ini: 

"Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) 

Oh di situ datangnya maknanya rezeki. Kerana pandangan pertama itu pandangan tak sengaja. Ya lah, mata lelaki itu agak tajam. Pantas saja menangkap apa yang disukai, kadangkala tanpa disedari. 

Apa yang nampak ialah kasut. tapi jadilah.

It’s almost primal instinct, really. Teringat pula suatu uji kaji yang dilakukan wanita Perancis seorang ini, yang meletakkan kamera tersembunyi di badannya. Apabila diteliti kembali rakamannya, dapat disimpulkan bahawa lelaki memang cenderung memandang kepada ehem-ehemnya. Pendek kata, mana-mana lelaki yang lalu, mesti memandang. Adalah juga yang selepas pandangan pertama, beralih dan pandang kali kedua (mesti cun awek ni ye tak?).

Jadi mungkinlah dapat disimpulkan bahawa ia memang adalah nafsu semula jadi mereka untuk memandang kepada aurat perempuan. Mungkin, itulah sebabnya pandangan pertama itu tidak dipersalahkan.

Jadi bolehlah ditengok. Jadi ialah rezeki ye tak?

Terpulang apa definisi yang anda mahu beri. Yang penting pandangan pertama haruslah pandangan tidak sengaja. Bukan pandangan sengaja seperti pergi mengintai bilik mandi atau google imej. Dan paling penting, kalau aurat itu terdedah tanpa disedari, dan anda terlihat, jangan tengok kali kedualah!

Yeah that includes 9gag and imgur too.
 Oh berbalik kepada perempuan dalam cerita di mamak tadi. Jangan salahkan dia pula. Bukan dia sengaja hendak beri secara percuma. Mungkin sekali itu hanya wardrobe malfunction—dia tidak sedar bahawa pakaian dia dalam keadaan tertentu, pergerakan tertentu, akan ternampak.

Macam saya. Selalu sangat kena wardrobe malfunction. Contohnya, hari ini.

Apekebengangnya lepas zuhur baru terperasan. Lepas dah pergi sarapan, print dokumen, naik turun pejabat, beli buku bagai.

Ahh  untungla korang semua dapat rezeki free. Haram Betei.

Ok, ni sebnanrnya entri luahan perasaan je. Kalau nak tengok hukum penuh dia, UZAR dah terangkan.
 
Assalamualaikum.



Wednesday, February 15, 2012

Makanan segera boleh buat orang mengamuk!

 
“Mungkin ada sebabnya kenapa itu berlaku. Ada bukti saintifik bahawa makanan segera itu boleh membawa kepada masalah mental.”

Begitulah komen seorang rakan melalui media sosial apabila saya menunjukkan video-video tentang pelanggan di restoran makanan segera yang naik darah. Ya, VIDEO-VIDEO. Apabila saya google fast-food rage saya mendapati agak ramai juga penggemar makanan segera yang mengamuk apabila menu yang dipesan tidak dipenuhi. Ada yang menghentak pintu, ada yang memaki hamun dan ada yang merosakkan kaunter!









Ini belum lagi melalui pengalaman pekerja restoran makanan segera sendiri, yang jika ditanya akan menceritakan insiden yang mereka atau rakan sekerja pernah alami. Sampaikan bagi mereka  insiden keganasan pelanggan mahupun staff itu seolah-olah menjadi kelaziman yang harus diterima para petugas!  

Mengapakah pelanggan (dan pengguna) restoran makanan segera cenderung menjadi kurang sabar? Menurut saintis, bahan-bahan seperti lemak trans (dalam ayam goreng, kentang goreng dan burger), gula dan kafien (dalam minuman) dan karbohidrat semuanya boleh menganggu sistem kesihatan mental. Tambahan pula, kebanyakan makan segera kurang dari segi mineral dan vitamin, yang kebanyakannya merupakan “makanan otak” untuk membolehkan minda berfungsi secara normal. Mineral seperti potasium yang berfungsi dalam penjanaan isyarat di sistem saraf, jika kekurangan mungkin menyebabkan rasa lesu dan keliru

Ambil contoh lemak trans (atau “lemak jahat”) misalnya. Kajian membuktikan bahawa manusia dengan kesihatan mental yang baik boleh mengalami masalah mental selepas enam tahun memakan makanan segera (sebagai retrospektif—sejak bila anda mula memakan makanan segera ya? Mungkin seawal tadika?). Seperti yang anda tahu lemak adalah konstituen utama otak anda. Apabila lemak trans menjadi bahan utama diet anda tentunya ia akan masuk ke otak.

Bagi minuman bergula dan kabohidrat pula, ia menjadikan aras gula dalam darah tidak stabil.  Dan ketidak stabilan ini jugalah yang dikaitkan dengan “sugar crash”, perasaan “irritable” dan juga masalah depresi di kalangan pemakan makanan segera.  Antara faktor lain pula ialah kandungan MSG dan/atau garam sodium yang tinggi dalam makanan segera. Kedua-dua ini dibuktikan mampu juga mengganggu “mood” seseorang, terutamanya bagi kanak-kanak.

Jadi dengan faktor-faktor biokimia ini, ditambah pula dengan pemilihan makanan segera yang didorong pemasaran yang agresif serta sifatnya yang murah, mudah dan cepat dihidang, menjadikan  pelangganya bergantung dan ketagih kepada hidangan makanan segera. Kebergantungan ini pula membawa padah apabila mengganggu kesihatan emosi dan mental mereka; namun ironisnya mereka terus-menerus memakannya kerana “ketagihan” kepada makanan tersebut. Kemudian kecelaruan mental meniumbulkan insiden keganasan, yang kadangkala berlaku apabila makanan itu tidak didapati. Seperti kitar pemusnah, bukan begitu?

Now, now, don’t get me wrong. Jangan marah wahai industri makanan segera sekalian (saya tahu ramai batchmate, senior dan junior bekerja di sana) tapi sebagai seorang yang mengambil minor berkaitan nutrisi makanan, saya berhak menyampaikannya. Bukan tidak boleh langsung memakan makanan segera. Namun pelanggan dan pengeluar juga harus mempunyai tanggungjawab.

Pengeluar harus cuba mengurangkan penggunaan lemak trans. Selain itu, manual juga harus menggariskan penggunaan lemak yang minimum, sekadar cukup untuk memasak. Garam juga boleh dikurangkan sekadar cukup rasa (ini juga boleh membantu dalam pengurangan kos). Selain itu, produk lebih sihat boleh juga ditambah kepada menu mereka, terutamanya untuk set yang ditawarkan kepada kanak-kanak dan remaja. Contohnya, pemberian jeli buah-buahan dalam Happy Meal oleh McD. 

Pelanggan pula harus bijak memilih dengan mengelakkan makan makanan segera dengan terlalu kerap serta memilih menu yang kurang berlemak, gula, dan garam. Contohnya menukar set air gas kepada air jus, meminta bahagian ayam yang kurang kulit tapi banyak isi, meminta pizza kepingan nipis berbanding kepingan tebal, dan banyak lagi.  

Tepuk dada, tanya selera. Ingat bahawa apa yang dimakan itu menjadi darah daging kita, jadi pilihlah yang baik-baik dan bermanfaat sahaja. Tiba-tiba saya rasa mahu makan nasi campur. Assalamualaikum!

Friday, December 23, 2011

Seorang Anarkis Remaja.


"Lihat negara yang dijatuhkan menerusi demonstrasi. Kemudian mereka cuba bangun, dan dijatuhkan dengan demonstrasi yang lain. Sampai bila pun ia tidak akan aman."
begitulah kata-kata ayah saya tika menonton TV beberapa hari lalu. Dalam Buletin Utama rangkuman dunia kerap menitipkan update terkini mengenai negara-negara di Eropah dan Timur Tengah. Semuanya, entah kenapa, penuh dengan demonstrasi dan penggulingan.

Malah, ada yang pemimpinnya (yang dikatakan kejam, zalim, diktator dan banyak lagi) sudah digulingkan oleh kuasa rakyat namun masih terpapar berita keganasan di tempat mereka beberapa bulan kemudian.

Kenapa begitu? Bukankah selepas pemimpin kejam turun takhta, rakyat akan aman damai?

Tidak. Itu hanya persis dongengan novel sahaja. "When the evil is dead and gone, they live happily ever after." tidak.

Pada hemat saya, (selepas memahami pandangan ayah saya tadi), sesuatu kerajaan selepas digulingkan oleh rakyat, akan bermakna "kuasa" kerajaan itu telah dipindahkan kepada rakyat. jika sebelum ini mereka merasakan perlu takut kepada pemimpin, sekarang mereka merasa pemimpin pula perlu takut dengan mereka. Jadi apa saja kesalahan pemimpin--tidak kira kecil atau besar--selagi tidak dipersetujui--akan digulingkan. Malah mungkin benda yang dianggap sebagai "kesalahan" itu sebenarnya benda yang baik dan berguna--baik kata Che Det dulu "unpopular decisions".

Tidak, saya bukan pro government mahupun pro pembangkang. Namun saya takut apabila sekali diberikan "kuasa" kepada masyarakat umum, selama-lamanya ia disalah guna. Teringat pula saya pada episod Siri Kino's Journey dahulu, tentang "Undang-undang rakyat".(maaf tak ingat yang mana, sila cari dalam youtube sendiri). Dalam cerita itu, satu negara tiada pemimpin, jadi mereka gunakan "undang-undang rakyat". Tidak suka, hukum. Suka, sokong. Kelihatan aman damai tetapi, akhirnya cuma tinggal seorang saja dalam negeri itu. Manakan tidak, satu demi satu orang digulingkan oleh masyarakatnya sendiri!

Jadi adakah ini perkara yang baik? Sebenarnya saya tidak menolak keperluan jika sesuatu negara itu memerlukan pertukaran pemimpin, apatah lagi jika ia pemimpin yang tidak efektif. Namun, sesuatu yang perlu dielakkan ialah pertukaran secara "coup d'etat" atau penggulingan pantas. Pertukaran kerajaan secara terancang adalah kuncinya. Dengan ini, siapa sahaja pemimpin yang datang, akan dipatuhi dan ditaati sejajar dengan tugas mereka sebagai premier negara.

Adapun saya ingin tutup penulisan ini dengan hadith.

"Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya"
Assalamualaikum WBT!

Sumber gambar: google 1, 2, 3.

Wednesday, October 26, 2011

Just a little bit of thinking, 2.0

Daripada Ali bin Abi Thalib ra…, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun kepada mereka, iaitu :

1. Apabila harta negara hanya beredar dikalangan orang tertentu sahaja

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan

3. Zakat dijadikan hutang

4. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)

5. Anak derhaka terhadap ibunya

6. Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya.

7. Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Arak sudah diminum secara berleluasa.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan/didendang kan.

15. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu). Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau GEMPA BUMI ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain.”

(Hadith Riwayat At Tarmizi)

Friday, October 7, 2011

Anda pun anak yatim juga suatu hari nanti.

Surah An-nisa' ayat 10

Assalamualaikum wbt.

Saya sebenarnya ingin merujuk ayat tersebut kepada topik yang dibincangkan dalam TV semalam. Mengenai pengurusan harta selepas kematian. Beberapa persoalan dibincangkan para penonton studionya, yang saya rasa menarik untuk dikongsi bersama. Antaranya tentang hak mutlak sesuatu penama kepada sesuatu harta.

Pernahkah kita makan harta anak yatim? Mungkin kita merasakan tidak pernah. Mungkin kita mahupun keluarga kita--yakin tidak pernah. Anggapan kita bahawa si pemakan harta anak yatim tentunya golongan ibu bapa tiri yang jahat ala-ala Bawang Putih Bawang Merah atau penjaga rumah anak yatim yang tamak haloba, mengambil keuntungan daripada penjagaan itu.

Namun kita tidak tahu, yang kita boleh termakan secara sengaja. Contohnya semasa majlis tahlil kematian sesorang, kita dijamu makanan. Mungkin makanan itu datang daripada duit si mati--yang sepatutnya diberikan kepada anaknya dulu (sebab itu tidak digalakkan membuat majlis makan-makan semasa kematian, kecuali kalau pasti duit ada dari sumber lain).

Contoh lagi satu, ialah apabila si ayah meninggal dan pengurusan harta pusaka berlaku, kakak/abang sulung malah mungkin isteri si mati, mengambil bahagian yang besar daripada harta itu, kerana dia merasakan dia berhak mendapat laba sebagai pengurus harta. Contoh lebih mudah--wang KWSP si mati diberikan kepada si penama sahaja sedangkan si penama itu sepatutnya membahagi-bahagikan harta tersebut secara faraid kepada keluarga yang lain.

Ini menyebabkan adik-adik atau anak-anak di bawah tidak mendapat harta yang sepatutnya. Sebenarnya bukan sahaja dia telah melanggar hukum faraid, malah dia telah melakukan dosa besar iaitu makan harta anak yatim!

Sumber gambar: sini
Ah, jangan pula kita memarahi dan menyalahkan adik-beradik atau ahli keluarga sendiri pula. Sebenarnya bak kata penceramah itu lagi, masalah faraid ini tidak dapat dielakkan--malah satu keluarga mesti pernah mengalami sekurang-kurangnya satu masalah faraid. Cuma, ambillah langkah yang bijak untuk menguruskan sepantas dan secekap mungkin.

Kalau boleh tika tanah kubur masih merah, anak-beranak sudah bermesyuarat di rumah mengenai pusaka. Apa? Kurang ajar? Ah, itu cuma budaya Melayu. Maaf cakap, adalah lebih baik menguruskan harta dan hutang sepantas mungkin daripada membiarkan si mati terseksa dalam kubur kerana hutang yang tidak berbayar. Ya tak? (OK ayat genius ini bukan dari saya semata, tetapi daripada penceramah itu).

Ataupun, ambil langkah yang lebih baik--tolak bahagian anda, dan sedekahkan harta itu kepada orang lain. Samada kumpul semua aset itu dan sedekah kepada anak yatim, atau biarkan saudara/ibubapa yang tidak berkemampuan mengambil lebih. Cara ini boleh mengelakkan pergaduhan. Saya teringat kata-kata ibu semalam semasa menonton perbincangan itu;

"Rasanya Mak (nenek saya) dah terambil bahagian saya dalam pusaka ayah tu. Tapi saya halalkan; taknak mak nanti makan bara api pula."

Terharu.

Dan saya semalam, ibu minta duit bayar ansuran peti sejuk pun dah merungut. LOL!



Footnote: Bacaan tambahan yang menarik di sini.

Sunday, September 18, 2011

Kenapa orang letak anak patung di bumper kereta....

Assalamualaikum wbt.
    No, I'm not gonna apologize for making too few blogposts. Haha! Busy la, busy.
Ni pun kerana internet tak elok, boleh la menulis sekejap.

   Apa-apapun, saya teringat suatu perbualan dengan abang saya semasa traffic jam di lebuhraya. Pelbagai jenis kereta lalu melepasi kami dan abang pun bertanya,

     "Ha awak tahu tak, kenapa orang selalu letak anak patung bawah kereta dia?"
Ambil dari sini
        Saya lihat ada kereta lalu di hadapan, dengan anak patung Spongebob. Banyak dah orang buat, especially kereta sport. Ada tasmania devil, sylvester, tweety, pendek kata semua soft toy. kadang-kadang sampai buruk pun ada. Kesian tengok (ye la dulu mak ayah pun jarang belikan anak patung, mereka ni beli senang-senang letak bawah kereta. Jeles!).

        "Entah la," saya duga. "Mungkin, nak bumikan elektrik semasa kilat kot?"

         "Salah..."

         "Habis tu kenapa?"

       "Sebab, ni budaya orang Thailand. Orang sana percaya roh orang yang mati kemalangan akan berlegar-legar di tempat dia mati. Takut nanti dia menganggu orang yang memandu, terutama roh kanak-kanak, jadi mereka pasang anak patung. Supaya roh kanak-kanak tu happy."

       "La ye ke," kata saya. "Patutlah time saya pergi Bangkok dulu, diorg buat shrine tepi jalan. Kata tourist guide, kalau orang tu mati kat situ, buat kuil kat situ. Dia jadi penjaga jalan tu."

      "Ha tulah, orang kita ni suka ikut saja budaya luar. Asal cute je buat. Tak fikir pun sebabnya."

      Bila Google di sini saya mendapati perkara yang sama. Di sini pula, halaman blog pelancongan Thailand ni pula mengatakan bahawa trend ini dibawa oleh pemandu teksi Thai yang mahu meletakkan roh lain (dengan meletak anak patung) supaya roh orang mati dilanggar tidak menganggu kereta mereka. 

      Fuh, nasib baik saya pun tak buat.  Aduh, tengok, nanti rosak pula akidah percaya pada roh anak patung. Hari tu terfikir juga, comelnya kalau letak anak patung sebiji. Kuma-kuma ke, powerpuff girls ke.  Kenapalah saya tak tanya dulu. 

p.s. kalau roh tu suka mainan tu macamana, pastu ikut balik. Ha...ha...tak koser nyah!

Assalamualaikum.

Wednesday, September 7, 2011

Karma and Fate

"Ish kalaulah aku tak ikut jalan tu...mesti aku tak eksiden."
"Ish kalaulah aku tangguh perjumpaan tu....mesti tak macam ni."
"Ish kalaulah...kalaulah.."

Kalaulah itu, kalaulah ini.
Kita fikirkan apa yang mungkin berlaku, apa yang telah berlaku, dan apa yang akan berlaku.
Namun hakikatnya,
Semua tu ialah Fate.
Itu cara Allah nak susun aturkan hidup makhluknya. 

Dan kita pula bercakap tentang karma.
"Ha karma lah tu, buat balik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat."
Tapi siapa kita nak menentukan samada musibah itu karma, atau hanya dugaan?
Kalau betul kenapa sebaik Nabi pun boleh sakit, dilukai, dibenci, dimusuhi?

Mungkin peristiwa itu
hanya satu titik pertemuan
antara takdir dua manusia
dan seperti Rashomon, ada pelbagai cara mata kita menafsirnya.

Entah, saya bukan pendeta.
Saya tak tahu cara  mengupas filusuf kehidupan ini.

Namun saya juga bukan ululazmi
Yang sabar dalam menempuh dugaan.

Thursday, August 18, 2011

Saya rindukan diskusi intelek!



Salam WBT.

Setelah hanya entri pendek-pendek di blog (kerana malas menulis, haha) sekarang ada juga sedikit celahan masa untuk menulis. Tambah lagi bila kerja semakin banyak mendatang, ketika Ramadan hampir ke penghujungnya—di masa saya sepatutnya lebih menghabiskan masa mengaji dan muhasabah diri. Dugaan! Dugaan!

Bercakap tentang muhasabah diri, terdetik untuk saya menulis perkara yang sekian lama terbuku di hati. Selama saya berblogging dan bergaul dalam media sosial, saya nampak satu trend yang agak jelas ketika berlakunya perselisihan faham. Ya, personal attack atau serangan peribadi. 
 
Jikalau anda rajin berblogwalking, terutamanya ke dalam blog yang jenis “pendapat” (memang kegemaran peribadi saya berbanding blog diari) anda akan ketemu satu dua post yang mempunyai entri jenis “berfikir” dan beribu-ribu komen perdebatan (OK, exaggerate-tak adalah sampai beribu-riban tapi adalah juga beratus).

Dan jika anda lihat, dalam komen perdebatan tu tentunya ada beberapa komen yang jenis tidak mengomen secara terus kepada isu entri, tetapi lebih kepada serangan peribadi—samada kepada orang yang disebut dalam entri itu, mahupun pemilik blog itu sendiri.

Kalau dalam gambar tu gemuk hitam, gemuk hitamlah diejeknya. Kalau namanya pelik macam Ziegler, disengaja eja menjadi Si Giler. Kalau gigi lebih sikit, terus dilabel Si Jongang. Bangsa dilahirkan, tempat asal, kursus yang diikuti, taraf pendidikan, rupa anak bini malah umur sekalipun--pendek kata semua benda boleh jadi bahan ejekan.

Saya hairan mengapa ramai kini lebih cenderung kepada menyerang peribadi berbanding berdiskusi secara intelek di ruang komen. Mungkin kerana ramai pembaca yang malas berfikir dan membaca entri sehingga habis. Ini nyata tidak membolehkan mereka mengeluarkan buah fikiran yang bernas. Kemudian yang hanya terkeluar dari mulut ialah “kau hanyalah loser di dalam hidup bukan?”

Natijahnya bila ada komen berunsur menyerang peribadi, pengkomen lain (atau pengepos sendiri) akan turut marah dan menyerang kembali. Berlakulah serangan demi serangan dan perbualan tidak lagi menjadi medan debat ilmiah—cuma menjadi medan kumpul maki hamun. Dan dosa.

Saya tahu, saya juga cenderung ke arah ini dahulu. Namun setelah agak lama, saya fikir cara ini cuma melambangkan aras intelek yang rendah (kalau nak trolling tak pe la. But still! Not cool). Lagi-lagi bila kita kutuk fizikal orang, mungkin satu hari nanti bila mereka tahu fizikal kita, habis berbakul-bakul mereka  kutuk. Kalaupun kekurangan kita tidak seperti kekurangan orang yang dikutuk, mungkin kita ada kekurangan yang lebih teruk.

Satu isu terbaru yang menarik perhatian saya adalah kes Sitt Alwuzara dan Arlene Tan. Bila dikhabarkan bahawa Sitt adalah Arlene, maka ramailah yang mengomen secara kutukan dan hinaan. Tapi bukan sahaja kutukan dan hinaan kepada blog itu, malah hinaan yang merujuk kepada maruah. Kemudian apa terjadi? Arlene melaporkan kepada polis atas gangguan yang diterimanya. Rupa-rupanya  dia bukan Sitt Alwuzara. Habis haru biru dunia blogging—yang sibuk mengutuk diam terkedu.  Ada pula yang berterusan defend diri sendiri (mungkin ego agaknya) dengan mempercayai bahawa memang benar Sitt adalah Arlene. Ah, kalau ya pun itu dia, tidaklah layak untuk orang menerima kutukan sebegitu. Fikirkan apa yang orang bukan Islam lihat andai dia ternampak blogger-blogger beragama Islam mencaci maruah sebegitu. Nampaknya jauh lagilah perjalanan untuk membersihkan nama Islam dalam media dalam talian ini.

Akhir kata dari saya, tidak perlulah kita menggunakan sifat-sifat fizikal sebagai bahan teguran. Sifat fizikal bukannya boleh diubah. Lebih baik menumpukan pada teguran benda yang boleh diubah seperti prinsip dan sikap. Lagipun, kata orang bijak pandai “bencilah perlakuannya, jangan benci pada orangnya.”

“(5) Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu. (Al-Hashr: 10)

*jangan dengkikan orang!
Assalamualaikum WBT.