“Menuntutlah ilmu hingga ke Negeri China.”
Dikatakan pentingnya menuntut ilmu sehingga ke Negeri China kerana negeri tersebut merupakan perlambangan bagi sesuatu yang asing, jauh dan penuh dengan kejutan. Negara asing menjanjikan seribu harapan dan menyempurnakan seribu keinginan. Ada yang merantau semata-mata kerana ilmu, ada yang ingin mendapatkan pengalaman dalam budaya, masyarakat dan bahasa baru. Ada yang ingin lari darpada norma kebosanan dalam negara sendiri kerana semuanya sudah dilihat dan dirasai di Malaysia.
Namun ada risikonya sebaik sahaja melangkah ke dunia luar untuk menuntut ilmu. Selain daripada cabaran menyesuaikan diri disebabkan perbezaan budaya, bahasa dan agama, kemungkinan bencana alam , malah bencana buatan manusia juga menjadi ancaman utama.
Bercakap tentang bencana buatan manusia, saya mudah mengambil contoh keadaan politik, ekonomi dan sosial di negara-negara luar. Tidak seperti negara kita yang rata-ratanya aman dan stabil, tiada jaminan keadaan yang sama di negara orang lain. Sebagai hanya pentadang ke negara mereka, apalah yang kita tahu tentang keadaan dalaman mereka. Namun apabila masalah yang terpendam mula meletus tiba-tiba kita tersepit dalam keadaan bahaya tidak berpenghujung.
Ya, saya akui ke negara orang lain memang cukup seronok. Tetapi hanya Allah sahaja yang tahu untung nasibnya kita di situ. Saya teringatkan adik saya yang dijadualkan untuk praktikal di negara seberang Indonesia. Rancangannya diatur sejak awal tahun lagi, tetapi siapa tahu pada masa dijadualkan tersebut, berlakulah perselisihan faham besar antara negara kita dan negara mereka. Sentimen anti Malaysia membuak-buak sehingga pancang buluh dipersiapkan untuk mengganyang rakyat kita di sana. Alhamdulillah nasibnya baik kerana semasa ketibaannya, orang di kawasan itu masih ‘cool’ dan berfikiran matang untuk mengendali amarah mereka.
Sama juga seperti semasa saya menjalani program pertukaran pelajar di Thailand. Keadaan sungguh seronok dan aman, kami bebas ke mana-mana; tetapi tidak lama selepas kami pulang, Gelombang Rusuhan Baju Merah bermula. Lapangan terbang tutup, penduduk di sana menjalani perintah darurat dan tempat-tempat yang dahulunya kami lepak dan bergembira terbakar dan musnah akibat rusuhan. Tersentak saya dibuatnya. Pergolakan politik tidak akan menunggu siapa-siapa. Bayangkan kalau ia berlaku semasa saya masih di sana!
Kisah tersebut menjadi ingatan saya kini apabila melihat di kaca TV mengenai para pelajar di Mesir. Begitu sukar usaha menyelamat mereka. Beribu-ribu pelajar perlu dipindahkan, namun logistik cukup terhad—lapangan terbang penuh dengan kapal terbang negara lain yang turut keluar masuk menyelamatkan rakyat mereka, sekatan jalan raya menyukarkan pemindahan pelajar ke kawasan selamat, dan sekatan perhubungan telefon dan internet menyebabkan pemantauan sukar dilakukan; ditambah pula karenah birokrasi dalam negara bergolak itu. Di sini pula ibu bapa dan pihak tertentu cukup mendesak dan menyalahkan sesama sendiri atas kesukaran membawa mereka pulang. Apa-apapun, saya faham kerja itu tidak mudah. Apa yang penting usaha sudah dilakukan sebaik mungkin dalam keadaan yang mendesak dan terhad.
Namun itulah yang saya panggil risiko kita sebagai penuntut ilmu, dan perantau di negara orang. Ia tidak semudah yang kita sangka. Jika ke negara orang hanya semata mahu mendapat kebanggaan orang-orang di kampung, atau merasai kebebasan total dan kenikmatan budaya baru, maka lupakanlah niat itu. Harus faham bahawa jika tidak ada gempa bumi seperti di Jepun atau bah besar seperti di Australia, atau puting beliung mengganas seperti di Amerika, atau diskriminasi dan sentimen anti-kaum tertentu seperti di Eropah atau Indonesia; akan ada pula rusuhan politik seperti di Mesir dan Thailand. Sentiasalah mempersiap diri untuk sebarang kemungkinan. Dan yang penting berani menghadapi segala yang datang. Bak kata orang lama, kalau takut dilambung ombak janganlah berumah ditepi pantai.
No comments:
Post a Comment