Topik Utama

Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Thursday, September 15, 2011

Patriotik sebagai penyakit?

Salam semua!

Macam biasa, pagi hari kemerdekaan diisi dengan makan pagi sambil menonton TV. Seronok nampaknya melihat perarakan Merdeka, sampai kami nak keluar pun bertangguh jadinya. Sempat mak menelefon adik sambil berkata "mak nak tengok merdeka dulu, nanti ambil adik ya kat asrama." Haha!
Perarakan kemerdekaan ke 50. seronok! (sumber)
Tapi pada hari-hari sebelum tarikh bersejarah ini--kita kurang melihat semangat kemerdekaan. Walaupun perarakan kemerdekaan dialih tarikh ke Hari Malaysia supaya tidak bertindih dengan Hari Raya Aidilfitri, namun ia tidak menampakkan kemeriahan prakemerdekaan yang semakin berlarutan. Malah ramai pula yang mempersoalkan nilai dan sejarah kemerdekaan kepada rakyat umum. Ada yang mengatakan polis dan sejarawan zaman British bukan pejuang kemerdekaan. Ada yamg memburuk-burukkan bendera Malaysia. Ada yang bebas mencaci dan mencerca negara sendiri di media massa mahupun media cetak, macam itu negara orang lain!

"Apa gunanya slogan Keranamu Malaysia tu. Bahaya, syirik tu," kata seorang ustaz semasa ceramah selingan Terawih, beberapa minggu lalu.

Syirik? Bukan saya layak untuk menidakkan atau mengiyakan pernyataan ini. Namun, sesuatu yang saya tahu, adalah sifat menyayangi dan menghargai negara sendiri itu perlu. Inilah negara yang nenek moyang kita susah payah mempertahan daripada anasir luar--daripada Belanda ke Portugis, ke British, ke Jepun--ada saja manusia yang terkorban nyawa. Namun pejuang-pejuang kemerdekaan ini ada yang diperlekeh dan ditidakkan seola-olah penjahat. Dan oleh kerana mereka penjahat, meraikan mereka seolah-olah kerja jenayah juga!

Oh guys, stop looking at Independence Day celebration as a disease. Tiada dosanya menjadi patriotik. Ramai sekarang yang menganggap menjadi patriotik bermakna menyokong parti BN atau parti pemerintah. Salah sama sekali!
Perarakan menuntut kemerdekaan dulu-dulu (arkib negara)

gambar dari sini.
Mengikut kamus, patiotik itu bermakna "setia negara". Menjadi patrotik bermakna setia menghormati negara dan isinya. Andai parti pemerintah bertukar sekalipun, rakyat akan setia menyayangi negara. Pemimpin hanya pemegang amanah, seperti seorang pengawal yang menjaga sebuah arkib. Apa yang ada di dalam arkib itulah yang penting, yang kita jaga. Dan kita memberi amanah kepada pengawal untuk menjaga sebaik mungkin. Tamat tempoh pengawal, kita tukar lain. Tapi kita tetap setia menyayangi dan menjaga segala isi arkib itu. 


Saya rindu zaman-zaman 90an dulu di mana kemerdekaan, walaupun pada para ulama', cukup bermakna. Pada malam kemerdekaan, mereka menjalankan ceramah-cerama agama bertemakan kemerdekaan, solat hajat kemerdekaan malah kenduri kesyukuran kemerdekaan. Dalam aktiviti ini mereka mengingatkan para umat menjadi rakyat yang menyayangi agama, bangsa dan negara, menolak unsur-unsur penjajahan dari segi fizikal mahupun budaya, dan meminta mendoakan kesejahteraan Malaysia dan seluruh isinya.

Negara itu bukan sekadar sempadan tanah sahaja. Ia adalah sempadan milikan budaya, agama, dan etnik, dan segala kehidupan di dalamnya, baik manusia atau haiwan. Dari pokok meranti di dalam Taman Negara sampaikan anak kucing di tepi rumah anda--ha, itulah tanggungjawab yang kita semua kena jaga. Bukankah kita, manusia, adalah Khalifah yang ditugaskan Allah SWT menjaga alam? Kalau tak dapat menjaga secara fizikal, paling kurang pun sayangilah dan hargailah segala isi negeri ni.

Atau paling kurang janganlah membiarkan ia dirosakkan orang lain.

Terima kasih, Selamat Hari Raya, dan Salam Hari Merdeka!


Saturday, January 22, 2011

Goreng Pisang Panas

Assalamualaikum WBT.

Ada kelebihannya rangkaian sosial. Berita pantas saja dibertahu, baik atau buruk. Sekali di post, lima ratus kali dilihat, dan entah berapa ratus kali dipost semula. Menjadikan berita yang baru berlaku dalam seminit lalu diketahui seluruh dunia dalam masa lima minit kemudian! Nyata ia lebih pantas daripada menunggu berita jam lapan dan jam dua belas untuk berita terkini.

Namun sekali sekala kedengaran berita yang hangat, disebarkan secara bersungguh-sungguh, namun selepas tersebar separuh dunia kita dikejutkan pula sdengan berita itu palsu!

Tidak lama dahulu ada selebriti yang dikatakan mengalami kemalangan jalan raya. Pantas disebarkan bahawa beliau telah meninggal dunia-tiba-tiba keluar pula wajahnya dalam berita! Beliau benar-benar marah atas penyebaran itu namun apakan daya, repost hanya semudah satu klik pada tetikus. Klik dahulu, baru fikir!

Tidak apa jika tiada apa-apa implikasi terhadap penyebaran tersebut. Esok lupa dan berita baru pula mengganti. Namun ada juga implikasinya jika contohnya, orang itu sedang nazak atau sakit dan dikatakan pula meninggal dunia.Akhirnya beliau benar-benar meninggal dunia. Jadi apa yang kita buat sebenarnya? Apakah kita seolah-olah mendoakan penamatkan hayatnya!

Berita tanpa pengesahan adalah satu bentuk fitnah, atau juga bentuk berprasangka buruk, yang mana lebih sesuai, pilih sendiri. Kadangkala beritanya lucu dan sekadar hiburan pagi. Kadangkala pula berita yang dibawa implikasinya besar.

Jadi biasakanlah diri untuk double-check berita yang sampai dalam twitter dan facebook anda. Kalau tidak pasti, janganlah repost kerana takut bersalah menyebarkan berita palsu. Dan jangan fikir hanya kerana ia dipost dalam blog berita, ia adalah benar!

Whoops. Pergi dulu. Salam penutup :)