Topik Utama

Tuesday, February 22, 2011

Dog eat dog world


Assalamualaikum WBT.

Echewah. Tajuk ganas tapi cerita kasi salam pulak.

Anyway, ada satu buku yang baru saya tamat baca. Namanya Echo Park daripada Micheal Connelly. Siapa yang suka cerita ala-ala NCIS, Criminal Minds dan sewaktu dengannya memang layan la buku-buku Connelly ni. Saya tertarik nak kongsikan pepatah yang disebut oleh salah satu watak dalam cerita itu.

“Deep inside us there are two dogs; the bad dog and the good dog. These dogs keep fighting inside of you, to decide who will be the alpha male. What you will turn out in the future, good or bad, depends on which dog you feed.”

Aum. feed me! {link}

Anjing ini sejenis haiwan hierarki. Ia kalau berkumpulan, mesti akan cuba bertanding antara satu sama lain untuk menjadi ketua alpha male. Ini adalah sifat semulajadinya yang tidak wujud pada kucing, ikan atau burung belaan anda. Malah diceritakan kalau membela anjing, tuannya perlu sentiasa tegas dan tidak mengalah kepada mereka walaupun digigit dan dinyalak, kerana mereka akan mennganggap dirinya tuan kepada manusia.

Berbalik kepada analogi tadi, ertinya dalam badan manusia itu ada dua haiwan yang sama padan sama kuat sedang bertarung sesama sendiri. Yang akan memang ialah yang paling kuat antara mereka. Dan yang diberikan “makanan” itulah yang menjadi kuat.

Kembali kepada cerita Echo Park tersebut,watak antagonis dan protagonis lahir daripada kawasan yang sama. Mereka berdua adalah anak yatim dalam rumah kebajikan yang sama. Namun menurut protagonisnya “Aku telah memberi makan kepada anjing jahat itu.”Dia terlalu memikirkan kekurangan diri, panas baran dan terburu-buru sehingga menyebabkan dia menjadi pembunuh bersiri yang akhirnya ditembak mati oleh si protagonis.

Menurut pemahaman saya, jiwa kita sering diberikan “makanan” pada setiap hari. Kalau kita selalu memikirkan perkara negatif, bersifat agresif dan lain-lain, kita sedang memberi makan kepada entiti yang jahat.
Kalau kita sering berfikirkan perkara yang positif, kita sedang memberi makan kepada yang baik.

Kadang-kadang perkara sehalus mendengar cemuhan atau umpatan orang, atau terasa dengan orang lain walau sedikitpun dapat menumbuhkan setompok titik hitam dalam hati. Kemudian kita berterus-terusan melayan perasaan tersebut hingga tidak sedar ia telah bersarang dalam diri, cukup kuat hingga tidak boleh menghilang.

Sesungguhnya itulah titik pembeza antara orang yang baik dan buruk. Tiada persoalan genetik atau kaum atau gender di situ. Lahirnya manusia ke dunia adalah seperti kain putih yang boleh dicorakkan sesuka hati, bak sabda Rasulullah SAW. Namun apa yang berlaku seterusnya, yakni pencorakan itulah yang menjadikan hasil akhirnya sama ada bernilai atau tidak.

Pepatah itu cukup terkesan bagi saya kerana saya sentiasa memikirkan bahawa saya ini adalah manusia betul-betul di tengah-tengah. ada potensi baik dan ada juga potensi buruk. Suap sedikit makanan kepada anjing jahat maka jatuhlah saya dalam kejahatan. Itulah sebabnya saya cuba menyuapkan diri dengan perkara yang baik setiap hari. Ya, sukar dengan kesibukan seharian tapi kena cuba juga. Oh ya, janji tahun ini:
  • Kena janji untuk bangun lebih awal dengar kuliah pagi di TV9
  • Kalau tak, kena dengar yang pukul 11 malam (kot)
  • Sentiasa baca AlQuran walaupun pemalas sangat dah ni
  • Habiskan buku-buku agama yang dah bersarang dalam almari
  • Pergi kedai buku beli buku lagi! (part ni kena tunggu gaji, dan tunggu buku lain habis baca dulu)
  • Kurangkan melepak dalam laman social dan menyemakkan home page dengan status sendiri (nanti kena remove friends baru tau ahaha)
  • Dan kalau nak post dalam laman social kena fikir dua tiga kali. Post yang berfaedah saja. Dan jangan nak reply kepada status yang entah apa-apa. (ni part yang paling menggoda ni)

Ni sekadar janji-janji saya. Moga—moga ia bukan sahaja memberi makan kepada yang baik dalam  diri tu, malah melemahkan anjing jahat tersebut. Woof! Woof!

p.s. cakap pasal anjing baik...er...ada sesiapa ada DVD Hachiko?

Friday, February 18, 2011

Assalamualaikum vs Akum dan Slm?


Assalamualaikum WBT...

Pagi tadi, seperti biasa ada ceramah pendek dekat TV9. Walaupun semenjak dua menjak ni saya selalu bangun lambat tidak seperti dulu, kadang-kadang saya masih mendengar apa yang diceritakan oleh Ustaz tersebut sebab abang saya selalu buka TV kuat-kuat. Hahaha!

Anyway, hari ini punya cerita melibatkan soalan penonton mengenai penggunaan Slm atau Akum dalam sistem pesanan ringkas (SMS). Ya, dah lama orang cerita pasal ni. Zzzzz...Orang dah komen macam-macam kononnya Akum berasal daripada perkataan Yahudi dan lain-lain. Namun, semua ini adalah tulisan forward-forward tanpa ada bukti kukuh (ye la, ada ke Melayu yang pandai cakap Yahudi ye tak?)

Apa-apapun, ustaz itu menjawab bahawa ia tidak salah untuk memendekkan perkataan. Nama pun SISTEM PESANAN RINGKAS, semua perkataan yang dituliskan adalah ringkas kerana terdapat had perkataan. Asalkan pada awalnya kita niatkan bahawa Slm atau Akum bermaksud Assalamualaikum wbt.

Menurut ustaz itu memang sudah menjadi kelaziman untuk memendekkan perkataan yang terlalu panjang. Contohnya nama Rasulullah Sallallahualaihiwassalam dipendekkan kepada SAW dalam buku agama, dengan niat siapa yang membasa SAW itu akan menyebut Sallallahualaihiwassalam dan bukan SAW macam movie SAW! (cue lagu seram di sini).

Pada hemat saya apa yang dikatakan itu betul. Ambil contoh seorang bisu. tidak boleh menyebut salam secara penuh, hanya sekadar menggerakkan tangan sekali dua. tetapi kita tahu pergerakan tangan itu bermaksud memberikan salam dan bukan maksud lain.

Dalam dunia SMS dan Twitter sekarang bukan sahaja salam yang dipendekkan dalam SMS malah perkataan bahasa melayu seperti aku, kau, di sana, di situ dan lain-lain juga dipendekkan, kerana kekangan ruang. tetapi apabila kita membacanya <i>out loud</i> kita menyebutnya penuh.
Memang kependekkan bahasa SMS ini menjadi isu besar oleh Sasterawan Melayu kini, namun hakikatnya ia tidak merosakkan bahasa komunikasi. Yang merosakkan sebenarnya apabila perkataan tidak dipendekkan tetapi digantikan huruf sehingga lain daripada perkataan sebenar. Contohnya "titew tamau kawan dengan kamew lettew..."

YEARGHHHH GELINYA CAKAP MACAMTU AAAA

Ok, berbalik kepada isu utama. Kata ustaz itu, tak kisahlah nak tulis Slm ke, S saja ke, asal niat sudah ada. dan bila baca, sebut penuh ya!

kat luar ucap penuh2 ya (link daripada website di atas)


p.s. teringat kepada sorang selebriti yang setiap kali Tweet mulakan dengan salam. Tapi lepas tu letak ayat-ayat pedas. Whoa!

UPDATE (ceh macam la ade orang baca)
So, saya tanya maksud Goodbye dan Akum kepada orang Inggeris dan Yahudi dalam forum.
katanya:
  1. Goodbye sebenarnya bermaksud "god be with ye" (dulu-dulu ye=you) dan bukan "di bawah lindungan pope"
  2. Avdei kokhavim u'mazalot bermaksud "worshippers of stars and consellation" atau "idolater" dalam Hebrew dan bukan "hamba haiwan dan orang yang sesat."
siapa pandai sangat translate ni. karate kang.

Tuesday, February 15, 2011

Doa kepada orang yang zalim?

Assalamualaikum wbt!
Eh dah lama tau tak tulis kat sini. Huhu

Oh ya, saya mahu share ini Doa.


"“Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim”.

Menurut buku yang saya baca, surah ini sesuai digunakan untuk berdoa memohon hukuman ke atas orang yang cuba menzalimi kita. contohnya kita diberikan tekanan sedangkan kita di pihak yang benar.

Eh? bukankah orang kata tidak baik untuk mendoakan keburukan kepada orang?

Ah, itu agak lain. Kadangkala kita sebagai hambaNya yang lemah perlu juga berdoa jika kita dizalimi, bukan sahaja untuk melepaskan kita daripada sesuatu keadaan sukar, tetapi juga menyedarkan orang yang salah itu.

Mengikut keterangan ayat ini, ia berdasarkan masalah Nabi Syuaib ketika itu yang berusaha mendakwahkan umatnya tetapi dakwahnya dipersia-siakan. Malah dengan sombong dan bongkaknya ketua kaum tersebut menempelak Nabi Syuaib dan menghasut orang lain supaya tidak mengikutnya.

Kemudian Nabi Syuaib mengeluarkan permintaan seperti dalam ayat tersebut, kerana Allah SWT itu sebaik-baik pengadil perkara yang baik dan buruk. Akhirnya kaum yang degil itu dibinasakan dalam gempa bumi yang teruk, seolah-olah mereka tidak pernah wujud di negeri itu.

Oh ya, kenapa saya tuliskan doa ini?

Pertama, kerana saya mahu ingat ia.

Kedua, kerana saya risaukan mereka.

Ada beberapa orang menghubungi saya mengatakan mereka dizalimi seseorang yang saya kenal. Saya kenal kerana pernah dizaliminya dulu.

Namun beliau sukar menceritakan butiran apa yang dilakukan oleh orang itu.Pendek kata perlakuannya itu cukup baik untuk terlepas dari segi undang-undang, tetapi cukup jahat untuk menimbulkan rasa susah hati dan etika dilema dalam diri.

Saya juga pernah berperasaan sama ketika di tempat rakan itu dahulu, kerana tidak pasti siapa di tempat yang benar. Apakah dia benar-benar salah? Apakah saya hanya terlalu mengikut emosi? Saya juga sukar hendak menceritakan semuanya kepada orang lain kerana masalahnya agak kompleks.

Jadi dari sinilah kegunaannya doa tersebut. Mintakan kepada Allah SWT untuk menjadi sebaik hakim, dan menunjukkan kepada semua siapa sebenarnya di tempat kebenaran. Jika anda, anda tidak perlu risau. Jika dia, anda haruslah menerimanya dengan terbuka.

Namun saya pasti anda di tempat benar.

I am praying for you, but in the meantime, continue what you are doing, OK?

Take care.

ps. reference Surah Al A'raf ayat 89, Tafsir ayat,  Buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam AlQuran. Further read, AlDurrul Manthur, tafsir ayat 89.

Tuesday, February 8, 2011

Perusahaan Alaf Baru, MLM mari join fillah!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Saya ingin berkongsi tentang 1 peluang bisnes konsep baru dan unik yang tengah PANAS dan bakal meletup 1 dunia.

•BUKAN MLM,
•BUKAN DIRECT SELLING
•BUKAN SKIM CEPAT KAYA
•BUKAN PAK MAN TELO
•TANPA MENJUAL

•Hanya KONGSIKAN PELUANG ini dengan rakan-rakan, sahabat handai, saudara mara serta kenalan. Tak perlu ramai-ramai, 3 orang dah cukup. Tapi kalau nak dapat income 5 ANGKA dengan PANTAS, anda hanya perlu KENALKAN pada ramai.
Bisnes ni bakal meletup worldwide. Usia baru 1 tahun 4 bulan tapi dah byk negara yang telah disusup masuk. Singapore, India, Thailand, Indonesia, Nepal, South Africa, Brunei dan Filipina dan yang lain-lain coming soon……..
Bisnes baru dan 95% orang ramai belum tahu
Untuk berkembang, kita hanya perlu SHARE, SHARE, SHARE………….dengan mereka yang ingin cari duit untuk mencapai kebebasan kewangan seperti anda dan juga saya. Sapa yang tak nak duit.

Bisnes ni jauh lebih mudah dari bisnes-bisnes yang disebutkan diatas yang melambak di luar sana.

MARKETING PLAN yang SANGAT PRAKTIKAL dan BOLEH DICAPAI dalam Tempoh Singkat. Siapa tahu mungkin rezki kita di sini. Kalau tak cuba, kita takkan tahu.

cara nya

solat 5 waktu
bersedekah 2.5% dari pendapatan
beri makan kepada anak yatim, fakir dan orang tua

KEKAYAAN INFINITI MENUNGGU ANDA!

cepat2...sertailah kami..ingat, 3 org sahaja...kongsi kekayaan dunia

(apa...ingat iklan MLM ke leh wat cam nie?)

p.s. daripada kumpulan Facebook Say No to MLM

Sunday, February 6, 2011

Harga Sebuah Pendidikan

“Menuntutlah ilmu hingga ke Negeri China.”

Dikatakan pentingnya menuntut ilmu sehingga ke Negeri China kerana negeri tersebut merupakan perlambangan bagi sesuatu yang asing, jauh dan penuh dengan kejutan. Negara asing menjanjikan seribu harapan dan menyempurnakan seribu keinginan. Ada yang merantau semata-mata kerana ilmu, ada yang ingin mendapatkan pengalaman dalam budaya, masyarakat dan bahasa baru. Ada yang ingin lari darpada norma kebosanan dalam negara sendiri kerana semuanya sudah dilihat dan dirasai di Malaysia.

Namun ada risikonya sebaik sahaja melangkah ke dunia luar untuk menuntut ilmu. Selain daripada cabaran menyesuaikan diri disebabkan perbezaan budaya, bahasa dan agama, kemungkinan bencana alam , malah bencana buatan manusia juga menjadi ancaman utama. 

Bercakap tentang bencana buatan manusia, saya mudah mengambil contoh keadaan politik, ekonomi dan sosial di negara-negara luar. Tidak seperti negara kita yang rata-ratanya aman dan stabil, tiada jaminan keadaan yang sama di negara orang lain. Sebagai hanya pentadang ke negara mereka, apalah yang kita tahu tentang keadaan dalaman mereka. Namun apabila masalah yang terpendam mula meletus tiba-tiba kita tersepit dalam keadaan bahaya tidak berpenghujung.  

Ya, saya akui ke negara orang lain memang cukup seronok. Tetapi hanya Allah sahaja yang tahu untung nasibnya kita di situ. Saya teringatkan adik saya yang dijadualkan untuk praktikal di negara seberang Indonesia. Rancangannya diatur sejak awal tahun lagi, tetapi siapa tahu pada masa dijadualkan tersebut, berlakulah perselisihan faham besar antara negara kita dan negara mereka. Sentimen anti Malaysia membuak-buak sehingga pancang buluh dipersiapkan untuk mengganyang rakyat kita di sana. Alhamdulillah nasibnya baik kerana semasa ketibaannya, orang di kawasan itu masih ‘cool’ dan berfikiran matang untuk mengendali amarah mereka. 

Sama juga seperti semasa saya menjalani program pertukaran pelajar di Thailand. Keadaan sungguh seronok dan aman, kami bebas ke mana-mana; tetapi tidak lama selepas kami pulang, Gelombang Rusuhan Baju Merah bermula. Lapangan terbang tutup, penduduk di sana menjalani perintah darurat dan tempat-tempat yang dahulunya kami lepak dan bergembira terbakar dan musnah akibat rusuhan. Tersentak saya dibuatnya. Pergolakan politik tidak akan menunggu siapa-siapa. Bayangkan kalau ia berlaku semasa saya masih di sana!

Kisah tersebut menjadi ingatan saya kini apabila melihat di kaca TV mengenai para pelajar di Mesir. Begitu sukar usaha menyelamat mereka. Beribu-ribu pelajar perlu dipindahkan, namun logistik cukup terhad—lapangan terbang penuh dengan kapal terbang negara lain yang turut keluar masuk menyelamatkan rakyat mereka, sekatan jalan raya menyukarkan pemindahan pelajar ke kawasan selamat, dan sekatan perhubungan telefon dan internet menyebabkan pemantauan sukar dilakukan; ditambah pula karenah birokrasi dalam negara bergolak itu. Di sini pula ibu bapa dan pihak tertentu cukup mendesak dan menyalahkan sesama sendiri atas kesukaran membawa mereka pulang. Apa-apapun, saya faham kerja itu tidak mudah. Apa yang penting usaha sudah dilakukan sebaik mungkin dalam keadaan yang mendesak dan terhad.

 Namun itulah yang saya panggil risiko kita sebagai penuntut ilmu, dan perantau di negara orang. Ia tidak semudah yang kita sangka. Jika ke negara orang hanya semata mahu mendapat kebanggaan orang-orang di kampung, atau merasai kebebasan total dan kenikmatan budaya baru, maka lupakanlah niat itu. Harus faham bahawa jika tidak ada gempa bumi seperti di Jepun atau bah besar seperti di Australia, atau puting beliung mengganas seperti di Amerika, atau diskriminasi dan sentimen anti-kaum tertentu seperti di Eropah atau Indonesia; akan ada pula rusuhan politik seperti di Mesir dan Thailand. Sentiasalah mempersiap diri untuk sebarang kemungkinan. Dan yang penting berani menghadapi segala yang datang. Bak kata orang lama, kalau takut dilambung ombak janganlah berumah ditepi pantai.

p.s bersabarlah orang kat sana ya. Doa-doakanlah supaya bukan sahaja orang kita selamat, malah rakyat tempatan itu selamat juga. Orang kita pejuang ilmu, orang sana pejuang demokrasi.