Salam WBT.
Setelah hanya entri pendek-pendek di blog (kerana malas menulis, haha) sekarang ada juga sedikit celahan masa untuk menulis. Tambah lagi bila kerja semakin banyak mendatang, ketika Ramadan hampir ke penghujungnya—di masa saya sepatutnya lebih menghabiskan masa mengaji dan muhasabah diri. Dugaan! Dugaan!
Bercakap tentang muhasabah diri, terdetik untuk saya menulis perkara yang sekian lama terbuku di hati. Selama saya berblogging dan bergaul dalam media sosial, saya nampak satu trend yang agak jelas ketika berlakunya perselisihan faham. Ya, personal attack atau serangan peribadi.
Jikalau anda rajin berblogwalking, terutamanya ke dalam blog yang jenis “pendapat” (memang kegemaran peribadi saya berbanding blog diari) anda akan ketemu satu dua post yang mempunyai entri jenis “berfikir” dan beribu-ribu komen perdebatan (OK, exaggerate-tak adalah sampai beribu-riban tapi adalah juga beratus).
Dan jika anda lihat, dalam komen perdebatan tu tentunya ada beberapa komen yang jenis tidak mengomen secara terus kepada isu entri, tetapi lebih kepada serangan peribadi—samada kepada orang yang disebut dalam entri itu, mahupun pemilik blog itu sendiri.
Kalau dalam gambar tu gemuk hitam, gemuk hitamlah diejeknya. Kalau namanya pelik macam Ziegler, disengaja eja menjadi Si Giler. Kalau gigi lebih sikit, terus dilabel Si Jongang. Bangsa dilahirkan, tempat asal, kursus yang diikuti, taraf pendidikan, rupa anak bini malah umur sekalipun--pendek kata semua benda boleh jadi bahan ejekan.
Saya hairan mengapa ramai kini lebih cenderung kepada menyerang peribadi berbanding berdiskusi secara intelek di ruang komen. Mungkin kerana ramai pembaca yang malas berfikir dan membaca entri sehingga habis. Ini nyata tidak membolehkan mereka mengeluarkan buah fikiran yang bernas. Kemudian yang hanya terkeluar dari mulut ialah “kau hanyalah loser di dalam hidup bukan?”
Natijahnya bila ada komen berunsur menyerang peribadi, pengkomen lain (atau pengepos sendiri) akan turut marah dan menyerang kembali. Berlakulah serangan demi serangan dan perbualan tidak lagi menjadi medan debat ilmiah—cuma menjadi medan kumpul maki hamun. Dan dosa.
Saya tahu, saya juga cenderung ke arah ini dahulu. Namun setelah agak lama, saya fikir cara ini cuma melambangkan aras intelek yang rendah (kalau nak trolling tak pe la. But still! Not cool). Lagi-lagi bila kita kutuk fizikal orang, mungkin satu hari nanti bila mereka tahu fizikal kita, habis berbakul-bakul mereka kutuk. Kalaupun kekurangan kita tidak seperti kekurangan orang yang dikutuk, mungkin kita ada kekurangan yang lebih teruk.
Satu isu terbaru yang menarik perhatian saya adalah kes Sitt Alwuzara dan Arlene Tan. Bila dikhabarkan bahawa Sitt adalah Arlene, maka ramailah yang mengomen secara kutukan dan hinaan. Tapi bukan sahaja kutukan dan hinaan kepada blog itu, malah hinaan yang merujuk kepada maruah. Kemudian apa terjadi? Arlene melaporkan kepada polis atas gangguan yang diterimanya. Rupa-rupanya dia bukan Sitt Alwuzara. Habis haru biru dunia blogging—yang sibuk mengutuk diam terkedu. Ada pula yang berterusan defend diri sendiri (mungkin ego agaknya) dengan mempercayai bahawa memang benar Sitt adalah Arlene. Ah, kalau ya pun itu dia, tidaklah layak untuk orang menerima kutukan sebegitu. Fikirkan apa yang orang bukan Islam lihat andai dia ternampak blogger-blogger beragama Islam mencaci maruah sebegitu. Nampaknya jauh lagilah perjalanan untuk membersihkan nama Islam dalam media dalam talian ini.
Akhir kata dari saya, tidak perlulah kita menggunakan sifat-sifat fizikal sebagai bahan teguran. Sifat fizikal bukannya boleh diubah. Lebih baik menumpukan pada teguran benda yang boleh diubah seperti prinsip dan sikap. Lagipun, kata orang bijak pandai “bencilah perlakuannya, jangan benci pada orangnya.”
“(5) Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu. (Al-Hashr: 10) “
*jangan dengkikan orang!
Assalamualaikum WBT.
No comments:
Post a Comment