Topik Utama

Wednesday, February 15, 2012

Makanan segera boleh buat orang mengamuk!

 
“Mungkin ada sebabnya kenapa itu berlaku. Ada bukti saintifik bahawa makanan segera itu boleh membawa kepada masalah mental.”

Begitulah komen seorang rakan melalui media sosial apabila saya menunjukkan video-video tentang pelanggan di restoran makanan segera yang naik darah. Ya, VIDEO-VIDEO. Apabila saya google fast-food rage saya mendapati agak ramai juga penggemar makanan segera yang mengamuk apabila menu yang dipesan tidak dipenuhi. Ada yang menghentak pintu, ada yang memaki hamun dan ada yang merosakkan kaunter!









Ini belum lagi melalui pengalaman pekerja restoran makanan segera sendiri, yang jika ditanya akan menceritakan insiden yang mereka atau rakan sekerja pernah alami. Sampaikan bagi mereka  insiden keganasan pelanggan mahupun staff itu seolah-olah menjadi kelaziman yang harus diterima para petugas!  

Mengapakah pelanggan (dan pengguna) restoran makanan segera cenderung menjadi kurang sabar? Menurut saintis, bahan-bahan seperti lemak trans (dalam ayam goreng, kentang goreng dan burger), gula dan kafien (dalam minuman) dan karbohidrat semuanya boleh menganggu sistem kesihatan mental. Tambahan pula, kebanyakan makan segera kurang dari segi mineral dan vitamin, yang kebanyakannya merupakan “makanan otak” untuk membolehkan minda berfungsi secara normal. Mineral seperti potasium yang berfungsi dalam penjanaan isyarat di sistem saraf, jika kekurangan mungkin menyebabkan rasa lesu dan keliru

Ambil contoh lemak trans (atau “lemak jahat”) misalnya. Kajian membuktikan bahawa manusia dengan kesihatan mental yang baik boleh mengalami masalah mental selepas enam tahun memakan makanan segera (sebagai retrospektif—sejak bila anda mula memakan makanan segera ya? Mungkin seawal tadika?). Seperti yang anda tahu lemak adalah konstituen utama otak anda. Apabila lemak trans menjadi bahan utama diet anda tentunya ia akan masuk ke otak.

Bagi minuman bergula dan kabohidrat pula, ia menjadikan aras gula dalam darah tidak stabil.  Dan ketidak stabilan ini jugalah yang dikaitkan dengan “sugar crash”, perasaan “irritable” dan juga masalah depresi di kalangan pemakan makanan segera.  Antara faktor lain pula ialah kandungan MSG dan/atau garam sodium yang tinggi dalam makanan segera. Kedua-dua ini dibuktikan mampu juga mengganggu “mood” seseorang, terutamanya bagi kanak-kanak.

Jadi dengan faktor-faktor biokimia ini, ditambah pula dengan pemilihan makanan segera yang didorong pemasaran yang agresif serta sifatnya yang murah, mudah dan cepat dihidang, menjadikan  pelangganya bergantung dan ketagih kepada hidangan makanan segera. Kebergantungan ini pula membawa padah apabila mengganggu kesihatan emosi dan mental mereka; namun ironisnya mereka terus-menerus memakannya kerana “ketagihan” kepada makanan tersebut. Kemudian kecelaruan mental meniumbulkan insiden keganasan, yang kadangkala berlaku apabila makanan itu tidak didapati. Seperti kitar pemusnah, bukan begitu?

Now, now, don’t get me wrong. Jangan marah wahai industri makanan segera sekalian (saya tahu ramai batchmate, senior dan junior bekerja di sana) tapi sebagai seorang yang mengambil minor berkaitan nutrisi makanan, saya berhak menyampaikannya. Bukan tidak boleh langsung memakan makanan segera. Namun pelanggan dan pengeluar juga harus mempunyai tanggungjawab.

Pengeluar harus cuba mengurangkan penggunaan lemak trans. Selain itu, manual juga harus menggariskan penggunaan lemak yang minimum, sekadar cukup untuk memasak. Garam juga boleh dikurangkan sekadar cukup rasa (ini juga boleh membantu dalam pengurangan kos). Selain itu, produk lebih sihat boleh juga ditambah kepada menu mereka, terutamanya untuk set yang ditawarkan kepada kanak-kanak dan remaja. Contohnya, pemberian jeli buah-buahan dalam Happy Meal oleh McD. 

Pelanggan pula harus bijak memilih dengan mengelakkan makan makanan segera dengan terlalu kerap serta memilih menu yang kurang berlemak, gula, dan garam. Contohnya menukar set air gas kepada air jus, meminta bahagian ayam yang kurang kulit tapi banyak isi, meminta pizza kepingan nipis berbanding kepingan tebal, dan banyak lagi.  

Tepuk dada, tanya selera. Ingat bahawa apa yang dimakan itu menjadi darah daging kita, jadi pilihlah yang baik-baik dan bermanfaat sahaja. Tiba-tiba saya rasa mahu makan nasi campur. Assalamualaikum!

No comments:

Post a Comment