Topik Utama

Tuesday, November 22, 2011

Agama, sebagai topeng.


Jones duduk termangu memikirkan jalan hidupnya. Dia pelajar yang bijak, pandai berkata-kata dan rajin membaca. Dia ingin berjaya, dia ingin terkenal. Dia butuh apresiasi. Paling penting, dia butuhkan cara untuk menyebarkan ideologinya.

"Aku suka pendapat Karl Marx tentang kesamarataan manusia.  Malangnya masyarakat liberalis moden ini bencikan komunis. Banyak betul kebencian diluahkan kepada pemegang ajaran Marxism seperti aku. 

Ah, mungkin ada caranya! Agama adalah candu masyarakat, bukan? Apa kata aku cuba masuk ke intitusi gereja. Aku jadi paderi dan kumpulkan pengikut, lalu aku masukkan ajaran aku perlahan-lahan."


Nasib Jones memang baik, seorang superintendan Methodist sanggup membawanya ke dalam insitusi gereja. Bermula dengan pelajar pastor, cukup baik baginya. Kemudian dia mulakan gerejanya sendiri dengan tema perpaduan sesama kaum. "Community Unity Church", nama diberi. Adalah beberapa orang pengikut, dari kalangan miskin, gelandangan, penganggur, dan kaum minoriti. Tetapi dia mahu lebih lagi daripada itu.

"Dan bagaimana pula caranya menarik orang ramai kepada gereja aku? Aku juga perlukan wang," fikrnya. "Ah! teringat pula ketika aku ke gereja yang kulawati tidak lama dahulu. Aku lihat paderi mengubat penyakit menggunakan "kuasa" mereka. Ala, aku boleh buat juga. Aku pura-puralah membuat jampi dan doa. Kemudian gunakan muslihat dengan meletak daging haiwan sebagai "hasil pemulihan" aku."

Dengan bantuan pengikut-pengikut yang sama licik, Jones dapatlah juga mengumpulkan wang yang agak banyak. Malah dia pula menjadi terkenal kerana dikatakan mempunyai "mukjizat" dan menerima "wahyu tuhan". Stesen radio memanggil beliau untuk slot ceramah di konti. Pengikut-pengikutnya mula bertambah. Nak pula beliau menyebarkan fahaman kesamarataan bangsa dan taraf hidup maka berbondong-bondonglah orang minoriti mula menjadi penyokong setia.
Dari situlah, dia mula memasukkan sedikit demi sedikit ideologinya. Ceramah yang dahulunya keagamaan mula diselitkan sedikit petikan daripada rujukan pro-komunis dan anti kerajaan. Disamakan kerajaan kapitalis Amerika sebagai kerajaan Dajjal. Dan ditakutkan pula pengikutnya dengan tanda-tanda kiamat dari "wahyunya". Bermula dengan ayat-ayat prokomunis yang serupa dengan ayat Bible, kepada ayat-ayat yang mula memburukkan Nabi Isa. Apabila melihatkan pengikut setia semakin patuh, Jones berani pula mengherdik dan menghina kitab Injil.

"Selama 200 tahun ini kita dikongkong oleh buku hitam buruk ini!"  "Musnahkan berhala kertas ini!" jeritnya sambil melontar kitab suci agama Kristian itu. Pengikut yang patuh mula menurut saja. Ada yang turut sama menghina.

Jones cukup puas hati, kerana selama ini cara-cara kawalan minda dan pembetulan sikap yang diadaptasi daripada sistem komunis Korea Utara dan Republik China, telah berjaya membolehkannya mendapat pengikut yang setia. Malah Jones juga berjaya melatih sekumpulan wanita muda berpndidikan tinggi, yang sanggup menjadi "polis rahsia"nya dan melakukan apa saja "misi" yang diingini.

Namun kegembiraan itu tidak lama. Ada wartawan yang mula menghidu. Pada suatu hari sampai ke mejanya suratkhabar Examiner, dengan entri tujuh bahagian untuk expose' ajaran sesatnya. yang menyebabkan beberapa orang pengikut turut keluar kumpulan. Ini membuatkan Jones marah dan kecewa.

"Mereka semua pembelot! Terbeli dengan coca-cola! Baik kita bunuh saja diri kita. Masyarakat sekarang masih tidak dapat menerima sosialis ni," katanya sambil menggawangkan pistol. Beliau mula membuat beberapa percubaan bunuh diri, mungkin untuk menarik simpati terhadap "diskriminasi" yang berlaku.

"Ah, Amerika sudah menjadi negara fasism. Rasis pula tu! Mungkin perlu kita pindahkan kegiatan kita ke negara lain. Aku telahpun mendapatkan tanah di Guyana, Akan kujadikan ia tempat untuk pengikutku hidup bebas. Di sinilah tempatnya orang kulit hitam kita boleh hidup dengan aman."

Mula takut dengan tarikan media ke atas ajarannya, Jones berpindah ke Guyana. Dinamakan Jonestown, dijadikan "tanah suci" bagi pengikutnya. Namun, semakin lama semakin banyak pula media mendedahkan belang sebenarnya. Apatah lagi mula terkeluar kisah-kisah kezalimannya kepada pengikut dalam "tanah suci" itu sendiri.

Maka pada suatu hari, datanglah sekumpulan wartawan mengiringi seorang ahli Kongres ke "tanah suci" tersebut, menyiasat perkara sebenar. Beberapa orang pengikut Jones meluru memohon bantuan ahli Kongres tersebut.

"Tolong kami Tuan Ryan! Bawa kami keluar," pinta mereka kepada ahli Kongres tersebut. Mereka mengiringinya ke lapangan terbang kecil, untuk melepaskan diri. Namun tidak sempat mereka pergi, pengawal Jones sudah menunggu.
Apa yang tinggal hanyalah mayat bergelimpangan dan rakaman terakhir daripada wartawan pengiring, dengan jelas bunyi hujan peluru.

"Kita sudah tiba di titik tiada jalan pulang," fikir Jones. "Ahli kongres sudah kita bunuh. Wartawan dan media juga. Tidak lama lagi lebih ramai akan datang. Awak, sediakan minuman itu."

Minuman berperisa anggur disediakan. Kesemua hampir seribu orang pengikut berada dihadapannya, termasuk lebih 200 orang kanak-kanak pelbagai bangsa.

"Patuh pada aku, dan minum ini semua."

Tidak lama kemudian, tiada lagi suara dari dalam "tanah suci" itu. Kesemua yang meminum air tadi telah meninggal dunia. 

Jones telah mengarahkan air itu dicampur sianid.


Kisah yang memeranjatkan bukan? Ya, ini diadaptasi dari kisah sebenar.  Berlaku pada 18 November 1978, ia adalah pembunuhan beramai-ramai paling tinggi dalam sejarah Amerika Syarikat, sebelum kemusnahan WTC Spetember 11. Hampir seribu orang meninggal dunia, tidak termasuk yang terselamat tetapi kemudiannya membunuh diri akibat takut dengan sisa-sisa pengikut People's Temple yang mungkin akan membalas dendam.

Aneh bagaimana agama boleh dijadikan topeng kejahatan, bukan?

Gambar dari kejadian sebenar. Sumber gambar daripada sini, sini, sini dan sini.

No comments:

Post a Comment